Aksi kumpulan H bersambung dengan menyaksikan pasukan Cape Verde mencipta kejutan sekali lagi selepas mengikat Uruguay dengan keputusan 2-2. Perlawanan ini sangat menarik kerana pasukan Uruguay mengidamkan 3 mata pertama untuk menghidupkan peluang mereka untuk layak ke peringkat kalah mati manakala pasukan Cape Verde akan cuba beraksi sehabis baik untuk memberi kejutan kepada pasukan Uruguay.
Perlawanan tumpuan ini berlangsung di Stadium Miami, Amerika Syarikat. Pasukan Uruguay sekali lagi akan beraksi tanpa kelibat pertahanan Barcelona, Ronald Araújo, yang belum pulih dari kecederaan betis yang memungkinkan menyebabkan dia terlepas perlawanan terakhir kumpulan H menentang pasukan Sepanyol nanti. Federico Viñas mengambil tempat Darwin Núñez sebagai penyerang nombor 9.
Manakala di kem Cape Verde, pemain Cape Verde yang menjadi wira ketika menentang Sepanyol, penjaga gol Vozinha serta pertahanan tengah, Diney Borges dan Pico Lopes kembali diturunkan sekali lagi.
Separuh masa pertama memperlihatkan kedua-dua pasukan agak seimbang dari segi penguasaan bola namun gerakan serangan dari pasukan Uruguay lebih mengancam. Pasukan Cape Verde terlebih dahulu mencipta kejutan dengan gol sepakan percuma yang menarik dari Kevin Pina pada minit ke-21. Ianya gol debut yang bersejarah bagi pasukan Cape Verde di pentas Piala Dunia.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Maxi Araújo, penjaring gol aksi terdahulu hadir bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-44. Satu gol mudah dari Maxi Araújo yang menerima bola yang terkena tiang hasil tandukan dari Rodrigo Bentancur.
Tidak lama selepas itu, Agustín Canobbio meletakkan Uruguay di hadapan pada minit ke-45+6 menerusi satu sepakan mudah hasil serangan balas yang pantas dari pasukan Uruguay. Tamat separuh masa pertama dengan keputusan 2-1, Uruguay mendahului.
Separuh masa kedua dimulakan dengan tahap permainan yang berintensiti tinggi dari kedua-dua pasukan. Pada minit ke-61, Hélio Varela bijak memanfaatkan peluang hasil kegagalan komunikasi antara pertahanan kiri Uruguay, Mathías Olivera dan penjaga gol, Fernando Muslera. Hélio Varela berjaya merampas bola hasil hantaran Mathías Olivera ke Fernando Muslera dan seterusnya meledak gol dari luar kotak penalti.
Pertembungan hangat ini tamat dengan keputusan 2-2, Uruguay seri dengan Cape Verde. Keputusan seri ini merugikan pasukan Uruguay yang bakal berdepan pasukan Sepanyol yang tampak lebih berkualiti dari kedua-dua pasukan yang pernah mereka hadapi sebelum ini. Aksi seterusnya bakal berlangsung pada 27 Jun yang menyaksikan juga pasukan Cape Verde akan menentang pasukan Arab Saudi yang kedua-dua nya mengintai peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.