Piala Dunia FIFA: Duo EPL Bantu Sweden Atasi Tunisia
MakanBola
Svensk Fotboll

Sweden menewaskan Tunisia 5-1 dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia 2026 di Estadio Monterrey.

Pasukan kebangsaan Sweden mencatat kemenangan meyakinkan 5-1 ke atas Tunisia dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Estadio Monterrey.

Sweden menurunkan gandingan dua penyerang prolifik yang beraksi di liga utama Eropah, iaitu Alexander Isak dan Viktor Gyökeres, sebagai sandaran utama di jentera serangan.

Sementara itu, Tunisia mempertaruhkan tonggak tengah mereka, Hannibal Mejbri, yang pernah menyarung jersi Manchester United.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi dalam usaha memburu jaringan pembukaan seawal mungkin.

Sweden berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi rembatan padu pemain Brighton & Hove Albion, Yasin Ayari, sekali gus memberikan kelebihan awal kepada skuad Blågult.

Pasukan Scandinavia itu terus mengukuhkan kedudukan apabila penyerang Liverpool FC, Alexander Isak, menjaringkan gol kedua pada minit ke-30.

Namun, Tunisia berjaya merapatkan jurang jaringan menjelang tamat babak pertama menerusi tandukan pertahanan mereka, Omar Rekik.

Memasuki separuh masa kedua, Sweden terus menguasai permainan dan kerap mengancam kubu pertahanan Tunisia.

Tekanan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila bintang Arsenal FC, Viktor Gyökeres, meledak gol ketiga pasukannya pada minit ke-59 untuk melebarkan jurang kedudukan.

M.Svanberg menjaringkan gol keempat pada minit ke-84 aksi dan Yasin Ayari meledak gol kelima perlawanan pada penghujung separuh masa kedua sekaligus memastikan kemenangan besar pasukan Sweden.

Keputusan 5-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Sweden dalam aksi kedua Kumpulan F Piala Dunia 2026 yang berlangsung pada pagi Isnin.