Piala Dunia FIFA: Erling Haaland & Norway Buat Iraq Rebah
MakanBola
Fotballandslaget

Aksi kedua Kumpulan I menyaksikan pasukan Norway yang berada di ranking ke-31 dunia membenam cabaran pasukan Iraq yang berada di ranking ke-57 dunia dengan keputusan 4-1 hasil dua gol Erling Haaland.

Perlawanan ini berlangsung di Stadium Boston, Amerika Syarikat ini begitu signifikan kepada kedua-dua pasukan kerana mereka kembali bertanding di Piala Dunia setelah sekian lama tidak merasainya. Penantian selama 40 tahun bagi pasukan Iraq manakala penantian selama 28 tahun bagi pasukan Norway akhirnya dibalas setelah masing-masing berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.

Pengendali Norway, Ståle Solbakken membariskan dua penyerang prolifik, Erling Haaland dan Alexander Sørloth dibantu Martin Odegaard selaku ketua pasukan. Manakala, penyerang berpengalaman yang juga penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Iraq, Aymen Hussein menjadi taruhan Lion of Mesopotamia pada aksi penting ini.

Sejurus wisel ditiupkan untuk perlawanan bermula, pasukan Iraq terus menyerang pasukan Norway dengan beberapa siri percubaan namun pasukan Norway berjaya mengekang percubaan tersebut.

Erling Haaland membuka tirai jaringan pada minit ke-28 dengan menolak masuk hantaran silang dari David Møller Wolfe. Ianya gol debut buat penyerang kelab Manchester City itu di pentas Piala Dunia.

Namun, muncul pula Aymen Hussein hadir dengan gol tandukan mengatasi penjaga gol Norway, Ørjan Nyland pada minit ke-38. Ianya gol debut kepada penyerang yang mempunyai 89 penampilan di peringkat antarabangsa tersebut.

Kem pasukan Norway riuh sekali lagi pada minit ke-41 dengan jaringan kedua dari penjaring gol pertama, Erling Haaland yang berjaya menguis bola masuk ke gawang gol hasil kesilapan penjaga gol berpengalaman Iraq, Jalal Hassan. Ianya satu malang petaka buat penjaga gol yang mempunyai 99 penampilan di peringkat antarabangsa tersebut.

Pasukan Iraq meningkatkan ancaman serangan terhadap kubu pertahanan pasukan Norway sehinggalah tamat separuh masa pertama dengan keputusan 2-1, Norway mendahului.

Separuh masa kedua dimulakan dengan pasukan Iraq cuba merencana serangan. Terutamanya pada minit ke-63, apabila Aymen Hussein sekali lagi mencuba dengan percubaan tandukannya tapi malang ianya hanya lalu di atas gawang gol.

Luka Iraq bertambah lagi pada minit ke-76 apabila Leo Østigård berjaya menanduk masuk bola ke gawang gol Iraq hasil hantaran silang dari sepakan penjuru yang diambil oleh Martin Ødegaard.

Kristian Thorstvedt mengakhiri kemenangan bergaya Norway dengan tandukannya dan menjadikan keputusan 4-1. Ianya hasil bantuan gol dari Haaland.

Tamat perlawanan dengan berkesudahan Norway menang 4-1 terhadap Iraq. Menurut sumber FIFA, Erling Haaland telah dipilih selaku pemain terbaik perlawanan hasil dua gol yang disumbangnya. Perlawanan seterusnya berlangsung pada 23 Jun yang menyaksikan Perancis akan menentang Iraq manakala Norway akan menentang Senegal pada hari yang sama.