Piala Dunia FIFA: Gol Lewat Qatar Buat Switzerland Terduduk
MakanBola
Swiss Nati Men

Gol penyamaan Qatar pada lewat permainan berjaya meleburkan impian Switzerland untuk membuka kempen Piala Dunia FIFA dengan langkah kanan.

Keputusan seri 1-1 antara Switzerland dan Qatar menyaksikan kedua-dua negara terpaksa akur berkongsi satu mata dalam aksi pertama Piala Dunia FIFA 2026 dengan jaguh Asia itu terpaksa menunggu sehingga lewat aksi untuk meraih gol.

Barisan bintang terkenal Eropah seperti Granit Xhaka, Manuel Akanji dan Breel Embolo membarisi kesebelasan utama Switzerland sementara Qatar menaruh kepercayaan terhadap ayam tambatan, Akram Afif bagi memburu jaringan.

Switzerland bermula baik apabila dihadiahkan sepakan penalti seawal minit ke-13 selepas Ruben Vargas diterjah keras oleh penjaga gol Qatar, Mahmud Abunada dan tendangan tersebut disempurnakan dengan cukup mudah oleh Breel Embolo.

Aksi berlangsung seimbang sehingga ke penghujung permainan sebelum ketua pasukan, Boualem Khoukhi menanduk masuk jaringan penyamaan pada masa tambahan untuk Qatar meranapkan misi Switzerland meraih 3 mata..

Pertembungan 90 minit di Stadium Levi’s ini berakhir dengan keputusan seri 1-1 sekali gus membantu Qatar meraih mata pertama di pentas Piala Dunia dalam sejarah penyertaan negara dari Asia itu.

Aksi seterusnya di kumpulan B akan menyaksikan Qatar turun menentang tuan rumah, Kanada sementara Switzerland pula berdepan cabaran Bosnia dengan kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung pada awal pagi 19 Jun ini.