Piala Dunia FIFA: Kanada Hantar Afrika Selatan Pulang
MakanBola
Canada Soccer

Aksi pusingan kalah mati yang pertama telah bermula dengan menyaksikan Kanada menewaskan Afrika Selatan dengan keputusan 1-0 di Stadium Los Angeles, Amerika Syarikat. Kedua-dua pasukan mencipta sejarah apabila lolos ke pusingan kalah mati buat kali pertama sepanjang muncul di Piala Dunia.

Berdasarkan format kejohanan, naib juara Kumpulan A akan menentang naib juara Kumpulan B dalam pusingan 32 terbaik. Afrika Selatan menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua dengan 4 mata, manakala pasukan Kanada turut muncul sebagai naib juara Kumpulan B dengan kutipan 4 mata juga.

Ketua jurulatih Kanada, Jesse Marsch telah membuat beberapa perubahan terhadap kesebelasan utama yang memulakan perlawanan terakhir Kumpulan B Kanada menentang Switzerland. Pertahanan tengah, Moïse Bombito serta bekas penyerang Minnesota United FC, Tani Oluwaseyi antara muka baharu yang diturunkan masing-masing di bahagian pertahanan. Bintang utama Alphonso Davies berada di bangku simpanan sambil menunggu penampilan sulungnya dalam Piala Dunia 2026.

Ketua jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos telah membuat satu perubahan dalam kesebelasan utama Afrika Selatan, dengan Teboho Mokoena menggantikan Thalente Mbatha di bahagian tengah. Namun, barisan pertahanan ‘Bafana Bafana‘ kekal tidak berubah. Mbekezeli Mbokazi menjadi tumpuan di benteng pertahanan dalam kejohanan Piala Dunia yang cemerlang setakat ini bagi pemain pertahanan tengah All-Star Chicago Fire FC itu.

Aksi separuh masa pertama dimulakan dengan pasukan Kanada selaku salah satu tuan rumah cuba mendominasi permainan pada awalnya. Kedua-dua pasukan saling bertukar serangan dengan menyaksikan percubaan tepat dari Moïse Bombito pada minit ke-44 yang paling hampir sekali menemui jaring gol Afrika Selatan namun dinafikan oleh penjaga gol berpengalaman, Ronwen Williams. Tamat separuh masa pertama dengan keputusan tanpa jaringan.

Separuh masa kedua dimulakan dengan permainan lebih terbuka dari kedua-dua pasukan. Tani Oluwaseyi hampir membuka jaringan buat pasukan Kanada pada minit ke-65 biarpun tendangan beliau sudah ditepis penjaga gol namun bola tersebut hampir memasuki jaring gol lawan sebelum sempat dikeluarkan oleh pertahanan Afrika Selatan, Aubrey Modiba.

Akhirnya, Stephen Eustaquio muncul wira buat pasukan Kanada apabila tendangan deras beliau berjaya menewaskan Ronwen Williams pada minit kecederaan permainan. Satu detik yang luar biasa buat kem Kanada.

Tamat aksi yang mendebarkan ini dengan hasil 1-0, Afrika Selatan tewas kepada Kanada. Kanada mencipta sejarah sekali lagi apabila lolos ke peringkat pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia mereka. Kanada bakal bertemu sama ada pasukan Belanda atau pasukan Maghribi pada 5 Julai.