Aksi kedua kumpulan C bersambung dengan kekalahan tipis pasukan Scotland kepada pasukan Maghribi dengan keputusan 1-0 sahaja. Sebelum perlawanan ini bermula, pasukan Maghribi mengharapkan 3 mata pertama untuk menghidupkan peluang mereka ke peringkat kalah mati setelah diikat dengan pasukan Brazil, 1-1. Manakala, pasukan Scotland mengharapkan keputusan yang positif sahaja untuk terus berada di puncak kumpulan setelah menewaskan pasukan Haiti dengan keputusan 1-0.
Stadium Boston di Amerika Syarikat menjadi venue aksi pertembungan dua pasukan ini. Di bawah kendalian Mohamed Ouahbi, Maghribi hadir dengan kekuatan beberapa bintang utama seperti Achraf Hakimi dan Brahim Díaz dan penjaring gol aksi sebelum ini, Ismael Saibari. Sementara itu, Scotland yang dipimpin Steve Clarke mengharapkan magis kepada Scott McTominay, Andy Robertson dan penjaring gol aksi terdahulu, John McGinn sebagai pemain utama mereka.
Aksi separuh pertama dilihat sudah dimulakan dengan intensiti tinggi. Hasilnya, pasukan Maghribi membuka tirai jaringan seawal minit ke-2 melalui Ismael Saibari yang bijak melepasi perangkap offside yang dibuat oleh pertahanan pasukan Scotland dan seterusnya menjaringkan gol. Ianya merupakan gol terpantas yang dijaringkan setakat ini pada pentas Piala Dunia FIFA 2026.
Penguasaan pasukan Maghribi kekal dominan biarpun mereka sudah mendahului satu gol di hadapan menerusi penguasaan bola dan percubaan ke arah gol lebih banyak berbanding pasukan Scotland. Buktinya, Maghribi membuat beberapa percubaan merbahaya menerusi Neil El Aynaoui pada minit ke-30 dan Bilal El Khannouss pada minit ke-36. Tamat separuh masa pertama dengan keputusan 1-0, Maghribi mendahului.
Separuh masa kedua bersambung dengan Scotland mencuba untuk mengimbang semula kedudukan. Akan tetapi, dominasi Maghribi kian utuh buat separuh masa kedua di mana Maghribi juga mampu bertahan dengan baik. Pasukan Scotland cuba mencari pelbagai peluang untuk mencari gol termasuklah jatuhan daripada beberapa pemain yang dianggap ‘foul’ di kotak penalti Maghribi namun ianya tidak diendahkan oleh pengadil perlawanan.
Sebelum tamat separuh masa kedua, Scotland cuba mencari gol menerusi percubaan daripada Dykes pada minit ke-86 dan Scott Mctominay pada minit ke-88 namun tidak menemui pintu gol lawan.
Tamatnya pertembungan dua pasukan ini dengan menyaksikan Maghribi menewaskan Scotland dengan keputusan 1-0 sahaja. Aksi seterusnya pula akan menyaksikan pasukan Maghribi akan menentang pasukan Haiti manakala pasukan Scotland akan menentang pasukan Brazil pada 25 Jun kedua-duanya.