Maghribi mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 pasukan terbaik dengan menewaskan Haiti dalam aksi terakhir Kumpulan C.
Maghribi sedar mereka perlu menang dengan jumlah jaringan yang besar jika mahu memintas Brazil sebagai juara kumpulan. Haiti pula berharap dapat meninggalkan Piala Dunia dengan satu kemenangan.
Pemain pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi mengetuai cabaran Maghribi. Penyerang Sunderland, Wilson Isidor menjadi sandaran gol Haiti.
Maghribi yang berstatus pasukan kesembilan dunia tergamam apabila ketinggalan pada minit ke-10. Penjaga gol Al-Hilal, Yassine Bounou tidak dapat menyekat bola Lenny Joseph menerjah jaring.
Pasukan Afrika Utara itu kembali mengatur rentak. Hasilnya, Hakimi meledakkan gol penyamaan pada minit ke-39 dengan menolak bola muntah yang terlepas daripada penjaga gol Haiti, Johny Placide.
Keceriaan kem Maghribi hanya bertahan selama empat minit. Isidor kemudiannya kembali meletakkan Haiti di depan dengan rembatan deras tepat ke penjuru atas gawang.
Pemain sayap PSV Eindhoven, Ismael Saibari memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga rehat menerusi gol pada minit akhir babak pertama.
Bersambung selepas rehat, anak buah Mohamed Ouahbi terus memberi tekanan kepada Haiti untuk memburu gol tambahan.
Haiti yang ingin menutup kempen kumpulan dengan kemenangan mengambil langkah memperkenalkan dua pemain gantian, Duckens Nazon dan Louicius Don Deedson.
Tatkala Haiti mengintai peluang menjaringkan gol ketiga, giliran Maghribi pula mendahului menerusi pemain gantian, Soufiane Rahimi. Penyerang Al-Ain itu tenang menewaskan Placide pada minit ke-79.
Gessime Yassin memastikan Maghribi menutup perlawanan dengan bergaya menerusi gol keempat pada minit ke-89. Keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Maghribi mengiringi Brazil ke pusingan 32 pasukan terbaik selaku naib juara Kumpulan C. Haiti pula mengucapkan selamat tinggal selepas menamatkan kempen di tangga terakhir kumpulan.
Sofascore memilih Bilal El Khanouss sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.0.