Piala Dunia FIFA: Mesir Rampas Slot Naib Juara Kumpulan Dari Iran
MakanBola
Egypt National Team

Aksi terakhir Kumpulan G menyaksikan pasukan Mesir layak ke pusingan kalah mati biarpun diikat 1-1 dengan pasukan Iran di Stadium Seattle, Amerika Syarikat. Bukan sahaja pertemuan di antara dua pasukan ini sahaja menarik, malah lagi satu pertemuan di dalam Kumpulan G antara Belgium bertemu New Zealand juga menarik. Ironinya, Mesir dan Iran berpeluang layak ke pusingan kalah mati buat pertama kali bagi kedua-dua pasukan.

Sebelum perlawanan bermula, Mesir berada di puncak carta Kumpulan G dengan 4 mata manakala Iran berada di tempat kedua dan berkongsi mata dengan pasukan pilihan, Belgium. Secara matematiknya, pasukan Mesir hanya memerlukan keputusan seri sekurang-kurangnya untuk layak ke pusingan kalah mati manakala pasukan Iran perlu menang dengan apa cara sekali pun dan tidak boleh seri. 3 mata berharga amat diperlukan oleh skuad ‘Team Melli‘ untuk berpeluang menjadi juara Kumpualan G dan seterusnya layak ke pusingan seterusnya. Jika tidak, mereka akan tersingkir secara automatik dan tidak akan beraksi lagi pada pentas Piala Dunia FIFA 2026.

Biarpun Omar Marmoush diletakkan pada bangku simpanan pada perlawanan ini, kelibat Mostafa Zico menjadi sandaran utama Mesir kebelakangan ini, dengan menyumbang 3 gol dan 1 bantuan gol dalam empat perlawanan terakhir mereka. Ketajaman penyudah daripada Mehdi Taremi mungkin menjadi petanda baik untuk pasukan Iran, kerana lima daripada enam gol antarabangsa terakhirnya hadir dalam empat kemenangan Iran sebelum ini.

Hamdi Fathy dan Hossam Abdelmaguid terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan dalam perlawanan terakhir Mesir. Iran pula dilihat tidak mempunyai sebarang pemain baharu yang mengalami kecederaan atau digantung perlawanan.

Aksi separuh masa pertama dimulakan dengan tahap permainan yang berintensiti tinggi diperagakan oleh kedua-dua pasukan. Mahmoud Saber, pemain yang membuat debut pada perlawanan ini membuka tirai jaringan gol buat skuad Mesir seawal minit ke-5. Gol tersebut berpunca dari bola ‘muntah’ hasil tepisan tidak kemas penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand yang diterima tepat pada kaki pemain Mesir tersebut lalu ditendang deras oleh beliau. Gol tersebut merupakan gol pertama Mahmoud Saber pada peringkat antarabangsa, dan sememangnya satu detik yang begitu berharga bagi dirinya.

Tidak lama selepas itu, Mehdi Taremi berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-12 melalui sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan asal Poland, Szymon Marciniak. Namun, sepakan tersebut dinafikan oleh penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir. Penalti tersebut dihadiahkan berpunca dari kekasaran Mohamed Abdelmonem terhadap Mehdi Taremi.

Namun, kekecewaan skuad Iran tidak begitu lama selepas Ramin Rezaeian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi satu tendangan deras yang menerjah jaring gol dari sudut sukar. Jaringan tersebut merupakan jaringan kedua peribadi beliau di pentas Piala Dunia kali ini.

Baki aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun serangan mereka tidak menemui jaring pihak lawan. Separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri, 1-1.

Aksi separuh masa kedua bersambung dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran pemain termasuklah dengan kemasukan penyerang Manchester City, Omar Marmoush menggantikan Emam Ashour.

Shoja Khalilzadeh hampir menjadi wira pasukan Iran dengan gol beliau pada minit kecederaan namun gol tersebut dibatalkan akibat beliau sudah berada pada kedudukan offside.

Aksi kedua-dua pasukan ini tamat dengan keputusan 1-1, Mesir seri dengan Iran. Keputusan ini menyaksikan kedudukan juara kumpulan yang dihuni Mesir dirampas oleh pasukan Belgium yang menang 5-1 ke atas New Zealand sebentar tadi. Pasukan Mesir jatuh ke kedudukan naib juara kumpulan manakala pasukan Iran menduduki tempat ke-3. Mesir bakal mengiringi pasukan Belgium ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia buat skuad ‘The Pharaohs‘. Pasukan Mesir bakal bertemu pasukan Australia pada 4 Julai manakala nasib pasukan Iran masih belum dapat dipastikan sehinggalah kesemua perlawanan terakhir selesai.