Piala Dunia FIFA: Perancis Benam Senegal Penuh Dramatik
MakanBola
Équipe de France

Aksi Piala Dunia 2026 diteruskan dengan pertembungan hangat Kumpulan I yang menyaksikan Perancis berdepan Senegal. Selepas 90 minit aksi mendebarkan, Perancis menang 3-1 atasi Senegal.

Kedua-dua pasukan turun dengan barisan terkuat bagi memastikan kempen mereka dalam edisi Piala Dunia kali ini bermula dengan langkah kanan.

Perlawanan bermula dalam tempo yang seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas penguasaan bola menerusi rangkaian hantaran pendek bagi mencari rentak dan membina corak permainan masing-masing.

Pada minit ke-20, Perancis hampir memecah kebuntuan apabila Ousmane Dembele menemukan ruang untuk melepaskan rembatan ke arah gol. Bagaimanapun, Niakhate bertindak pantas melakukan hadangan penting untuk menyelamatkan Senegal. Tidak lama kemudian, Senegal membalas menerusi serangan balas berbahaya, tetapi hantaran lintang Sarr gagal menemui sasaran apabila bola terus melambung keluar melepasi palang.

Senegal hampir mencipta kejutan pada minit ke-25 menerusi serangan balas kilat yang bermula daripada tindakan bijak Habib Diouf merampas bola daripada Mbappe. Hantaran tepatnya menemui Nicholas Jackson yang memecut melepasi pertahanan sebelum meledakkan rembatan kencang. Malangnya buat Senegal, percubaan itu sekadar menggegarkan tiang gol.

Babak pertama yang berlangsung agak berhati-hati menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan, sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Selepas rehat, Perancis meningkatkan tempo permainan dan mula menguasai serangan. Gandingan Mbappe, Dembele dan Olise menjadi duri dalam daging buat pertahanan Senegal apabila mereka berkali-kali mencipta ancaman menerusi kombinasi hantaran pantas dan larian yang sukar dikekang.

Mbappe mencuri tumpuan pada minit ke-60 apabila beliau terjatuh dalam kotak penalti selepas melakukan larian yang mengancam pertahanan Senegal. Namun selepas semakan VAR, pengadil memutuskan tiada sebarang kekasaran berlaku dan tiada penalti buat Perancis.

Selepas bertubi-tubi melancarkan serangan, Perancis akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-66 menerusi Kylian Mbappe. Penyerang sensasi itu menyudahkan hantaran lolos tepat daripada Michael Olise dengan tenang untuk meletakkan Perancis di hadapan 1-0.

Nicholas Jackson hanpir menyamakan kedudukan tidak lama selepas itu namun jaringan dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.

Gol kedua yang dinantikan akhirnya hadir buat Perancis pada minit ke-82 apabila pemain gantian Bradley Barcola mencipta impak segera. Hantaran cantik Rabiot membuka ruang sebelum Barcola melakukan penyudah kemas untuk menggandakan kelebihan Les Bleus kepada 2-0.

Lapan minit masa tambahan diberikan, namun Perancis kekal menguasai permainan dan terus memberi tekanan kepada Senegal.

Senegal sempat memberi tekanan pada penghujung permainan apabila Ibrahim Mbaye menjaringkan gol pada minit ke-94 untuk mengecilkan jurang kepada 2-1. Namun, drama belum berakhir apabila Mbappe mencuri tumpuan dengan satu detik magis.

Bintang Perancis itu melepaskan rembatan jarak jauh yang padu dan tepat, menghasilkan jaringan sensasi untuk memastikan Perancis kembali selesa dengan kelebihan 3-1. Satu gol kelas dunia yang mengesahkan kehebatan Mbappé di pentas terbesar.

Perancis menutup aksi pembukaan Kumpulan I dengan nota positif apabila menewaskan Senegal 3-1 dalam persembahan yang penuh kawalan dan disiplin.

Untuk aksi seterusnya, Perancis akan berdepan Iraq pada 23 Jun manakala Senegal pula akan berdepan Norway pada tarikh yang sama.