1 hatrik, 2 kad merah, 6 gol mewarnai aksi kedua kumpulan B yang menyaksikan pasukan Kanada membelasah pasukan Qatar yang bermain dengan 9 orang pemain dengan keputusan 6-0. Aksi kedua-dua pasukan ini begitu unik yang mempertemukan salah satu wakil tuan rumah edisi kali ini, Kanada bertemu dengan wakil tuan rumah edisi terdahulu, Qatar selepas menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berputih mata pada aksi sebelum ini yang menyaksikan mereka seri.
Stadium BC Place Vancouver di Kanada menjadi venue pilihan perlawanan ini. Biarpun tanpa kehadiran bintang utama mereka, Alphonso Davies disebabkan belum cergas sepenuhnya tidak mengahalang pasukan Kanada kendalian Jesse Marsch membariskan skuad terbaik dengan menurunkan penyerang kelab Juventus, Jonathan David dan penjaring gol aksi terdahulu, Cyle Larin. Penjaring gol terbanyak pasukan Qatar dan juga kapten pasukan, Akram Afif turut disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh Julen Lopetegui, ketua jurulatih pasukan Qatar.
Aksi bermula dengan pasukan tuan rumah dilihat lebih garang mengasak kubu pertahanan pasukan Qatar menerusi beberapa siri percubaan. Hasilnya, Cyle Larin muncul sekali lagi sebagai penjaring gol Kanada pada minit ke-16 selepas berjaya memanfaatkan bola ‘muntah’ hasil tepisan tidak kemas penjaga gol Qatar, Mahmoud Abunada.
Selepas itu, Jonathan David pula membuka akaun jaringan gol peribadinya pada minit ke-29 di pentas Piala Dunia 2026 dengan satu sepakan voli yang begitu kencang hasil biasan pertahanan Qatar.
Tidak lama selepas itu, insiden malang menimpa pasukan Qatar sekali lagi pada minit ke-33 yang terpaksa menyaksikan mereka bermain dengan 10 orang pemain angkara layangan kad merah kepada Homam Ahmed akibat terjahan lewat terhadap Tajon Buchanan.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Jonathan David sekali lagi hadir menambah duka pasukan Qatar dengan gol kedua beliau pada minit kecederaan hasil tepisan kurang kemas sekali lagi dari penjaga gol Qatar. Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 3-0, Kanada mengganas.
Separuh masa kedua dimulakan pasukan Kanada yang berkelebihan satu pemain dilihat masih agresif mengasak kubu pertahanan pasukan Qatar. Tidak lama selepas itu, satu stadium dikejutkan dengan satu insiden terjahan keras daripada Assim Madibo yang menyebabkan kecederaan teruk dialami oleh pemain tengah, Ismaël Koné. Insiden itu turut menyaksikan pemain tengah Qatar, Assim Madibo dilayangkan kad merah yang menyebabkan pasukan Qatar bermain dengan 9 orang. Ianya satu malapetaka buat kem Qatar. Insiden ini turut menuntut Julen Lopetegui membuat beberapa pertukaran yang bersifat bertahan dan salah satunya melibatkan kapten pasukan, Akram Afif yang terpaksa ditukarkan juga.
Pemain gantian, Nathan Saliba turut hadir menyertai pesta gol Kanada pada minit ke-64 menerusi satu sepakan percuma yang cukup cantik diambil oleh beliau dan seterusnya menjadikan keputusan 4-0.
Hasil sepakan keluar yang tidak menjadi daripada Mohamed Maani memakan diri apabila sepakan tersebut menyebabkan bola masuk ke gawang gol sendiri dan seterusnya menghadiahkan gol kelima pada minit ke-75 buat pasukan Kanada.
Pada minit 90+2, Jonathan David menghadiahkan jaringan hatrik buat penyokong Kanada selepas mudah menyepak masuk bola tanpa dihalang oleh mana-mana pertahanan Qatar sekalipun. Hatrik tersebut meletakkan beliau sebagai pemain pertama dari wakil tuan rumah yang menjaringkan hatrik.
Hasil keputusan menyaksikan Kanada mengalahkan Qatar dengan keputusan 6-0. Ianya satu pesta gol bagi kem Kanada namun sebaliknya bagi kem Qatar. Aksi seterusnya menyaksikan pasukan Kanada akan berdepan pasukan Switzerland manakala pasukan Qatar akan berdepan pasukan Bosnia dan Herzegovina pada 25 Jun kedua-duanya.