Piala Dunia: Gol Dramatik Fullkrug Bantu Jerman Ikat Sepanyol
Piala Dunia
@FCBayernGer
Advertisements

Sepanyol mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan F Piala Dunia 2022 walaupun terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat Jerman 1-1 dalam aksi kedua kumpulan hari ini.

Babak pertama menyaksikan dua pasukan gergasi Eropah itu nampak seimbang sebaik sepak mula. Tetapi Sepanyol terlebih dahulu mengancam benteng Jerman pada minit ketujuh menerusi duo Barcelona, Pedri dan Gavi. Kedua-duanya saling bertukar hantaran sebelum menghantar kepada Dani Olmo. Olmo melepaskan rembatan ke arah gol tetapi dinafikan Manuel Neuer di mana bola sepakannya terkena palang sebelum melantun keluar.

Pedri dan Gavi terus mencipta peluang buat La Roja, kali ini dengan menghantar bola kepada rakan senior Blaugrana mereka, Jordi Alba pada minit ke-21. Bek kiri Barcelona itu melepaskan rembatan kaki kanan ke arah gol Jerman tetapi sepakannya hanya mengenai bahagian tepi gawang.

Advertisements

Jerman yang dibimbing Hansi Flick menyerap asakan sambil menunggu peluang anak-anak buah Luis Enrique melakukan kesilapan. Pada minit ke-25, peluang buat Die Mannschaft apabila Unai Simon tersilap sepak kepada Serge Gnabry tetapi sepakan bekas pemain Arsenal itu tersasar. Dua minit kemudian, Neuer melakukan kesilapan serupa tetapi bek kanan David Raum segera membuat hadangan sebelum Ferran Torres melakukan rembatan.

Die Mannschaft akhirnya mendahului pada minit ke-40 menerusi tandukan bekas bek tengah Chelsea, Antonio Rudiger. Bagaimanapun, kegembiraan Jerman mendahului tidak bertahan lama apabila gol tersebut dibatalkan selepas Rudiger didapati ofsaid. Peluang demi peluang terus terhidang buat kedua-dua pasukan tetapi kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Simon sekali lagi membuat kesilapan. Hantaran lemahnya kepada Pedri pada minit ke-50 berjaya dipintas Joshua Kimmich sebelum bertukar hantaran dengan Ilkay Gundogan sebelum menyepak ke arah gol Sepanyol. Tetapi kali ini, Simon lebih bersedia dengan menepis bola sepakan Kimmich keluar.

Advertisements

Kegagalan Jerman mengambil kesempatan daripada kesilapan Simon dihukum oleh La Roja. Alba membuat satu hantaran ke dalam kotak penalti Die Mannschaft dan mudah disudahkan Alvaro Morata pada minit ke-62. Gol tersebut merupakan gol kedua bekas penyerang Real Madrid itu dalam kejohanan.

Jerman yang terdesak memasukkan Leroy Sane, Niclas Fullkrug dan Lukas Klostermann bagi memperkemas jentera mereka. Tetapi pemain muda Jamal Musiala menjadi duri dalam daging kepada benteng La Roja menerusi percubaan pada minit ke-73 tetapi berjaya dinafikan dengan mudah oleh Simon.

Pada minit ke-80, Sane berjaya menembusi pertahanan La Roja. Tetapi sebelum membuat sepakan, Rodri berjaya merampas bola dan mengeluarkannya daripada pertahanan Sepanyol. Kehampaan Jerman bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Fullkrug berjaya menewaskan Simon tiga minit selepas itu.

Advertisements

Dengan dua pemain gantian bertanggungjawab untuk gol kedua-dua pasukan, Sepanyol dan Jerman berusaha mencari gol kemenangan. Sane hampir saja menjaringkan gol kemenangan untuk Jerman pada minit akhir perlawanan tetapi kuisannya berjaya dikeluarkan untuk sepakan sudut. Die Mannschaft mencuba buat kali terakhir tetapi sepakan sudut Sane berjaya ditangkap Simon sebelum wisel penamat ditiup.

Dengan keputusan 1-1 ini, Sepanyol mendahului Kumpulan E dengan empat mata dengan Jerman tercorot dengan satu mata. Sepanyol hanya perlu mengelak kalah bila bertemu Jepun untuk aksi terakhir kumpulan pada awal pagi 2 Disember. Sementara Jerman perlu menang besar bila berdepan Costa Rica pada hari yang sama untuk mengikut Sepanyol ke pusingan seterusnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram