Chelsea dipaksa bekerja keras sebelum membelasah Benfica 4-1 sebelum mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia Kelab.
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan untuk menempah tiket ke suku akhir. Ini juga buat peluang buat The Blues mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas Benfica sejak 2013.
Penyerang baharu Chelsea, Liam Delap menjadi sandaran gol Enzo Maresca. Pemain sayap veteran, Angel Di Maria mengetuai jentera serangan Benfica.
Separuh masa pertama menyaksikan Chelsea berusaha mencari gol awal menerusi Delap, Cole Palmer, Enzo Fernandez dan Pedro Neto.
Palmer hampir memecah kebuntuan buat The Blues pada minit ke-20. Malangnya, percubaan pemain tengah England itu dinafikan Anatoliy Turbin.
Seminit selepas itu, giliran Marc Cucurella pula menguji penjaga gol Ukraine itu selepas merampas bola daripada pertahanan Benfica. Turbin bertindak pantas menafikan percubaan bekas pemain pertahanan Brighton itu.
Penjaga gol Benfica itu sekali lagi menafikan Cucurella daripada menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-38. Turbin berjaya menyekat bek kiri Sepanyol itu sebelum mara ke gawang pasukan itu.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, pengendali The Eagles, Bruno Lage memasukkan Kerem Akturkoglu untuk menambah bisa di bahagian serangan.
Gol yang dicari Chelsea akhirnya hadir pada minit ke-64 menerusi kapten, Reece James. Sepakan percuma James berjaya melepasi benteng Benfica sebelum menerjah jaring.
Delap menyangka telah menggandakan kelebihan The Blues pada minit ke-80. Gol tersebut kemudiannya dibatalkan selepas bekas penyerang Ipswich Town itu berada pada kedudukan ofsaid.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Bank of America, Charlotte kemudiannya ditangguhkan hampir 100 minit. Ini disebabkan cuaca ribut yang berlaku sekitar Charlotte.
Selepas pemain kedua-dua pasukan memanaskan badan selama tujuh minit, perlawanan kemudiannya disambung semula pada minit ke-86.
Chelsea kemudiannya bernasib malang apabila pengadil memberi sepakan penalti kepada Benfica pada minit akhir babak kedua. Ini selepas VAR mengesan bola terkena tangan Malo Gusto.
Di Maria tenang menyempurnakan penalti menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez. Keputusan 1-1 pada akhir perlawanan menyebabkan perlawanan diheret ke masa tambahan.
The Eagles kemudiannya dipaksa bermain dengan 10 pemain. Ini selepas Gianluca Prestianni mengutip kad kuning kedua.
Situasi ini membuka ruang kepada Chelsea meningkatkan tekanan ke atas benteng Benfica diketuai Turbin.
The Blues akhirnya meraih gol kedua menerusi Christopher Nkunku pada minit ke-108. Perebutan bola dalam kotak penalti The Eagles membuka ruang buat beliau menyumbat gol.
Chelsea menambah dua lagi gol menerusi Neto dan Kiernan Dewsbury-Hall pada minit ke-114 dan 117. Itu memastikan Chelsea meraih kemenangan 4-1 selepas 120 minit.
Keputusan ini menyaksikan The Blues akan berdepan Palmeiras di peringkat suku akhir. Palmeiras mara selepas menyingkirkan Botafogo dalam satu lagi aksi pusingan 16.
Sofascore memilih Palmer sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.8. Beliau mengatasi Neto yang meraih 8.6 mata.