Piala Dunia: Penyudah Mbappe Bantu Perancis Benam Denmark
Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Perancis terus mendominasi Kumpulan D Piala Dunia 2022 selepas menundukkan Denmark 2-1 dalam aksi kedua kumpulan di Stadium 974. Semua ini takkan tercapai tanpa sentuhan penyerang terkemuka Perancis, Kylian Mbappe.

Babak pertama menyaksikan Les Bleus mendominasi Danish Dynamite sejak wisel perlawanan ditiup. Bek tengah Manchester United, Raphael Varane menguji benteng Denmark menerusi tandukan pada minit ke-13 hasil sepakan sudut Antoine Griezmann. Bagaimanapun, tandukannya berjaya dikeluarkan daripada melintasi garisan gol.

Lapan minit selepas itu, pemain tengah Juventus Adrian Rabiot mahu menambah koleksi gol menerusi tandukan menerusi satu sepakan percuma. Bagaimanapun, hajat Rabiot tidak kesampaian apabila ia berjaya dinafikan bekas penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel.

Advertisements

Schmeichel sekali lagi dipaksa bekerja keras pada minit ke-34 selepas menafikan percubaan Griezman. Cubaan susulan oleh Ousmane Dembele dan Aurelien Tchouameni selepas itu turut dinafikan bekas graduan akademi Manchester City itu.

Denmark hanya menguji sekali gawang Les Bleus yang dikawal oleh Hugo Lloris pada minit ke-39 menerusi hantaran bek kanan Leeds United, Rasmus Kristensen. Bagaimanapun, ia gagal disudahkan oleh penyerang Andreas Cornelius. Perancis terus mendesak menerusi percubaan Mbappe pada minit ke-40 hasil hantaran Dembele. Bagaimanapun, graduan Monaco itu gagal menemui sasaran. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Babak kedua menyaksikan Les Bleus akhirnya mendahului Danish Dynamite menerusi Mbappe pada minit ke-61 selepas mendapat umpanan Lucas Hernandez. Tetapi itu tidak bertahan lama apabila Denmark menyamakan kedudukan menerusi Andreas Christensen hasil sepakan percuma Christian Eriksen pada minit ke-68.

Advertisements

Mbappe bagaimanapun muncul wira buat Les Bleus menerusi gol kemenangan pada minit ke-86. Sekali lagi, Griezmann tampil sebagai arkitek dengan membuat satu hantaran yang ditujukan kepadanya. Walaupun cuba dicabar Schmeichel dan Kristensen, Mbappe mudah menolak bola untuk gol kemenangan Perancis ke atas Denmark. Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.

Les Bleus kini mengetuai Kumpulan D dengan enam mata diikuti oleh Australia (tiga mata). Perancis boleh layak ke pusingan seterusnya sebagai juara kumpulan dengan syarat tidak tewas kepada Tunisia pada 30 November. Manakala Denmark yang mahu layak perlu menewaskan Australia pada hari yang sama.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram