Juara dunia Perancis bangkit daripada ketinggalan gol awal dengan membenam cabaran Australia 2-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan D Piala Dunia 2022 di Stadium Al-Janoub, Al-Wakrah, Qatar.
Perancis yang berstatus pasukan keempat terbaik di dunia mempamerkan corak permainan tidak kemas sebaik wisel perlawanan ditiup. Ini mengakibatkan mereka dihukum Socceroos seawal minit kesembilan menerusi penyerang Adelaide City, Craig Goodwin selepas mendapat umpanan Mathew Leckie.
Tersentak dengan jaringan itu ditambah dengan kecederaan yang menimpa bek kiri utama mereka Theo Hernandez, Les Bleus bangkit. Hasilnya, Perancis menyamakan kedudukan menerusi tandukan Adrien Rabiot yang tidak dikawal pertahanan Australia selepas menerima hantaran pengganti Theo, Lucas Hernandez pada minit ke-27.
Dari situ, Les Bleus mula mendominasi perlawanan. Dominasi mereka menghasilkan jaringan kedua menerusi bekas penyerang Arsenal, Olivier Giroud lima minit selepas itu. Rabiot bertukar hantaran dengan Kylian Mbappe sebelum menewaskan bek kanan Hearts, Nathaniel Atkinson dan membolehkan Giroud menolak bola dalam gawang Socceroos yang terbuka.
Di sebalik dominasi Les Bleus, Australia yang menduduki tangga ke-38 ranking FIFA terus menggugat pertahanan lawan mereka. Sebelum rehat, bekas pemain tengah Celtic Jackson Irvine hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-47 tetapi tandukannya terkena tiang gawang Perancis sebelum terkeluar dari padang.
Selepas rehat, Socceroos berusaha mendapatkan gol penyamaan. Namun begitu, Les Bleus hampir menambah gol ketiga menerusi tendangan basikal Giroud pada minit ke-50 selepas menerima umpanan Lucas tetapi sepakannya tersasar.
Serangan bertali arus Perancis akhirnya membuahkan hasil apabila Mbappe menanduk masuk hantaran Ousmane Dembele pada minit ke-68 untuk gol ketiga Les Bleus. Dengan menanduk gol keempat pada minit ke-71, Giroud kini berkongsi kedudukan penjaring gol terbanyak Perancis sepanjang zaman dengan legenda Arsenal, Thierry Henry dengan 51 gol.
Dengan keputusan ini, Perancis mendahului kumpulan D dengan Australia di tangga tercorot selepas perlawanan Tunisia dan Denmark menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata. Australia bakal berdepan Denmark pada 26 November dengan Perancis menentang Tunisia pada tengah malam 27 November.