Piala Dunia
CBS Sports Golazo
Advertisements

Portugal mengesahkan kemaraan mereka ke suku akhir Piala Dunia 2022 di sebalik drama yang menyelubungi Cristiano Ronaldo dan pengurus Fernando Santos. Ini selepas A Selecao menewaskan Switzerland 6-1 dalam perlawanan terakhir pusingan kalah mati hari ini.

Sebaik sepak mula, Switzerland berpeluang membuka jaringan menerusi Xherdan Shaqiri pada minit ke-11. Ini selepas bek tengah Manchester City, Ruben Dias diberi tekanan semasa mengawal bola dalam pertahanan Portugal. Bagaimanapun, bek tengah A Selecao itu bernasib baik apabila gandingannya di bek tengah Pepe berjaya mengeluarkan bola sebelum disambar Shaqiri.

Goncalo Ramos Portugal Piala Dunia 2022 Ben Jacobs Piala Dunia: Portugal Belasah Switzerland, Sahkan Kemaraan Ke Suku Akhir
Goncalo Ramos merembat kencang bola menewaskan Yann Sommer untuk gol pertama Portugal. Gambar: Ben Jacobs.

Enam minit selepas itu, Portugal mendahului Rossocrociati menerusi penyerang Benfica Goncalo Ramos. Ramos yang diturunkan menggantikan Ronaldo tidak menghampakan Santos apabila tandukannya berjaya menewaskan penjaga gol Borussia Dortmund, Yann Sommer dan menembusi gawang Switzerland.

Advertisements

Pada minit ke-23, Ramos sekali lagi mencemaskan pertahanan Rossocrociati. Kali ini, dia berjaya melepasi seorang pemain pertahanan mereka sebelum melepaskan rembatan ke arah gol. Tetapi cubaannya berjaya dinafikan Sommer. Shaqiri hampir menyamakan kedudukan enam minit selepas itu tetapi sepakan percuma bintang Chicago Fire itu berjaya ditepis penjaga gol Portugal, Diogo Costa.

Pepe meraikan jaringan selepas tandukannya melepasi Sommer. Gambar: Ben Jacobs

Kegagalan bekas pemain Stoke City itu menjaringkan gol menghantui Switzerland apabila dibolosi buat kali kedua menerusi Pepe pada minit ke-32. Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes melambungkan bola ke dalam kotak penalti menerusi satu sepakan percuma dan ia mudah disempurnakan Pepe menerusi tandukan menewaskan Sommer. Pepe turut mencipta sejarah sebagai pemain tertua menjaringkan gol dalam pusingan kalah mati Piala Dunia pada usia 39 tahun.

Switzerland hampir merapatkan jurang pada minit ke-38 menerusi Edmilson Fernandes selepas hantarannya berjaya ditepis Costa. Remo Freuler cuba menanduk masuk ke arah gol Portugal tetapi ia berjaya dikeluarkan oleh bek kanan Manchester United, Diogo Dalot. Lima minit selepas itu, Bruno Fernandes menghantar bola kepada Ramos sebelum penyerang Benfica itu cuba menyepak ke penjuru atas gawang Rossocrociati. Bagaimanapun, ia berjaya ditepis oleh Sommer.

Advertisements

Selepas rehat, Rossocrociati cuba bangkit tetapi dibolosi lagi buat kali ketiga oleh Ramos pada minit ke-51. Kali ini, giliran Dalot pula sebagai pencipta jaringan dengan membuat larian ke sebelah kanan kotak penalti Switzerland. Hantarannya mudah ditolak penyerang Benfica itu melepasi Sommer untuk gol ketiga A Selecao.

Terdesak, Rossocrociati memasukkan Denis Zakaria dan Haris Seferovic untuk cuba mengubah keadaan. Malangnya, Sommer dibolosi lagi menerusi bek kiri Borussia Dortmund Raphael Guerreiro lima minit selepas gol Ramos. A Selecao melihat ada ruang di bahagian kanan yang ditinggalkan Edmilson Fernandes. Ini memudahkan Guerreiro mara ke kotak penalti Switzerland tanpa dicabar sesiapa sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Sommer.

Rossocrociati mendapat gol tunggal menerusi tolakan mudah rakan sepasukan Dias di Stadium Etihad, Manuel Akanji pada minit ke-58. Cubaan Ramos mengeluarkan bola sepakan sudut Switzerland gagal dan sebaliknya terhantar bola kepada Akanji yang mudah menolak bola dalam gawang Portugal.

Advertisements

Ramos melengkapkan hatrik pada minit ke-67 selepas menerima hantaran mengelirukan Felix untuk gol kelima Portugal. Itu juga merupakan hatrik keempat Portugal dalam sejarah Piala Dunia dan hatrik pertama dalam Piala Dunia 2022. Bruno Fernandes hampir menambah gol keenam selepas mendapat hantaran Guerreiro pada minit ke-70 tetapi gagal menemui penyudah.

Dengan kemenangan sudah terjamin, Santos memasukkan Ronaldo, Vitinha dan Ricardo Horta menggantikan Ramos, Otavio dan Joao Felix. Bagaimanapun, Rossocrociati hampir menambah gol menerusi tandukan Granit Xhaka pada minit ke-81 tetapi tandukannya melepasi gol tatkala gawang terbuka luas.

Tiga minit selepas itu, Ronaldo menyangka dirinya telah menyamai rekod sembilan gol Eusebio menerusi gol pada minit ke-84. Bagaimanapun, bekas penyerang Manchester United itu kecewa apabila dirinya berada dalam kedudukan ofsaid semasa menewaskan Sommer. Pemain gantian Rafael Leao menyumbat gol keenam pada minit akhir perlawanan sekaligus kemenangan kedua terbesar dalam Piala Dunia 2022 selepas kemenangan 7-0 Sepanyol ke atas Costa Rica.

Advertisements

Dengan kemenangan besar Portugal ini, maka lengkaplah sudah penentuan pasukan mana layak ke suku akhir. Maghribi bakal berdepan tugas sukar menentang A Selecao sebagai satu-satunya wakil negara Afrika dan Arab dalam Piala Dunia 2022. Dengan Ronaldo mahu menjulang Piala Dunia, maka Singa Atlas perlu ditewaskan jika mahu mara ke separuh akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram