Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia Ke Final, Kalahkan Indonesia
UltraSukan
PSM

Malaysia menempah tiket final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan menewaskan Indonesia dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Selepas berjaya menewaskan Jepun di peringkat suku akhir, Indonesia menjadi penghalang antara kem negara dan slot ke final.

Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharom mempertaruhkan gandingan Zulkifli Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Zawawi sebagai regu pertama.

Indonesia pula mempertaruhkan Riyo Zuliya Wandra, Muhammad Fahrul dan Anwar Budiyanto untuk memburu mata pertama perlawanan.

Set pertama menyaksikan Indonesia tiada jawapan kepada setiap servis dan libasan regu negara sebelum tewas dengan keputusan 15-7. Indonesia cuba mengubah rentak dengan memasukkan dua pemain simpanan pada set kedua.

Walau bagaimanapun, itu bukan penghalang buat gandingan Zulkifli, Afifuddin dan Aidil untuk merekodkan kemenangan set kedua dengan keputusan 15-9.

Regu kedua pula menyaksikan Haziq Hairul Nizam beraksi sebagai tekong menggantikan Syahir Rosdi. Haziq bergandingan dengan Azlan Alias dan Farhan Adam.

Indonesia pula menurunkan Saiful Rijal, Yusha Aswinatama dan Hardiansyah Muliang sebagai regu kedua. Hanya satu pemain simpanan yang dapat digunakan Indonesia selepas dua pemain telah digunakan untuk regu pertama.

Selepas tewas 15-10 pada set pertama, Malaysia bangkit memenangi baki dua set untuk menempah tiket final. Malaysia akan menentang musuh tradisi, Thailand di final.