Piala Dunia: Sepanyol Belasah Costa Rica
Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Bekas juara dunia edisi 2010, Sepanyol berpesta gol semasa menundukkan Costa Rica 7-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan E Piala Dunia 2022 di Stadium Al-Thumama, Al-Thumama, Qatar.

Sepanyol yang dibimbing bekas jurulatih Barcelona Luis Enrique membuat kejutan dengan menurunkan Rodri sebagai bek tengah dan pemain sayap Marco Asencio sebagai penyerang. Tetapi perubahan ini tidak menggugat kelancaran dominasi La Roja ke atas Costa Rica pada babak pertama.

Sepanyol dua kali menguji pertahanan Los Ticos menerusi percubaan Dani Olmo (minit kelima) dan Pedri (minit kesembilan). Bagaimanapun, dua percubaan tersebut tersasar daripada mengenai gawang yang dijaga bekas penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas.

Advertisements

Olmo menebus kehampaan beberapa minit sebelumnya dengan menyumbat gol pertama perlawanan pada minit ke-11. Ia bermula dengan gerakan Jordi Alba yang mencari Gavi sebelum pemain tengah Barca itu membuat hantaran cantik kepada Olmo. Penyerang RB Leipzig itu mudah mengangkat bola melepasi bekas penjaga gol Los Blancos itu ke arah gawang yang terbuka.

Los Ticos semakin tertekan apabila Asencio menambah gol kedua pada minit ke-21. Alba sekali lagi membuat hantaran dari sebelah kiri yang gagal disekat pertahanan Costa Rica sebelum disudahkan oleh pemain sayap Real Madrid itu.

Alba terus mencipta peluang buat Sepanyol selepas bekas bek kiri Valencia itu dijatuhkan bek tengah berpengalaman Los Ticos, Oscar Duarte dalam kotak penalti. Penyerang Barca, Ferran Torres mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Navas pada minit ke-31. Dominasi La Roja mengekalkan keputusan 3-0 sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Sepanyol terus menggandakan kelebihan mereka. Torres yang mendapat umpanan Gavi dalam kotak penalti menyangka bola terlepas daripada kawalannya. Tetapi selepas beberapa sentuhan, bekas pemain sayap Manchester City itu menewaskan Navas buat kali keempat pada minit ke-54.

Los Ticos dibolosi lagi buat kali kelima, kali ini menerusi Gavi pada minit ke-75. Pengganti Alba, Alejandro Balde membuat larian ke bahagian atas sebelum menghantar bola kepada Gavi yang membuat sepakan voli masuk ke penjuru bawah gawang Costa Rica. Dia turut mencipta rekod sebagai penjaring ketiga termuda dalam sejarah Piala Dunia di belakang Pele dan Manuel Rosas.

Malam gemilang La Roja dilengkapkan dengan dua lagi gol menerusi yang Carlos Soler pada minit ke-90 dan Alvaro Morata pada minit ke-92. Dominasi Sepanyol menyaksikan keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Advertisements

Dengan kemenangan besar ini, Sepanyol mengungguli Kumpulan E dengan Costa Rica menduduki tangga tercorot. Sepanyol bakal menentang gergasi Eropah, Jerman pada awal pagi28 November. Manakala Costa Rica pula berdepan Jepun pada 27 November.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram