Piala Dunia Terakhir Buat 14 Bintang Ternama
MakanBola
Portugal
Ronaldo Portugal 5 Piala Dunia Terakhir Buat 14 Bintang Ternama
Portugal

Bahang Piala Dunia makin terasa, begitu juga sebaliknya, dengan Piala Dunia FiFA kali inj mungkin bakal jadi medan terakhir bagi 14 pemain berstatus legenda bagi negara masing-masing. Pada edisi kali ini, buat pertama kali nya menyaksikan 48 buah pasukan bakal berentap membawa nama dan maruah negara masing- masing dan kejohanan tersebut bakal berlangsung di tiga buah negara iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Canada.

Salah seorang daripada mungkin bakal menjadi juara dunia, salah seorang juga mungkin menerima nasib yang tidak begitu baik tetapi yang pasti mereka tetap menjadi legenda yang tetap dikenang oleh para penyokong mereka sendiri mahupun peminat bola sepak global.

Lionel Messi (Argentina)

Siapa tidak kenal akan Lionel Messi, pemenang 8 kali Ballon d’Or yang sudah mengecapi segalanya dalam karier bola sepak. Setelah memimpin pasukan Argentina menjadi juara dunia pada edisi lalu di Qatar, beliau tidak ingin berhenti di tahap itu. Malah, beliau kembali lagi pada edisi 2026 tatkala beliau sudah berusia 39 tahun.

Cristiano Ronaldo (Portugal)

Lain pula cerita bagi seteru utama Lionel Messi, Cristiano Ronaldo yang berimpian untuk merasai kejuaraan yang paling diidamkan oleh beliau. Edisi 2026, menjadi kan beliau pemain paling tua yang bakal bermain. Cristiano Ronaldo yang juga pemenang 5 kali Ballon d’Or di belakang Lionel Messi, hanya memerlukan satu sahaja piala yang belum pernah didakapnya iaitu Piala Dunia 2026. Adakah dia dan pasukan Portugal tersebut mampu buat demikian? Tunggu dan nantikan.

Neymar (Brazil)

Neymar, seorang pejuang bola sepak gaya “Samba” yang terakhir, telah dipilih oleh jurulatih pasukan Brazil, Carlo Ancellotti. Biarpun pemilihan beliau bersifat kontroversi dan sebagainya, Neymar tetaplah Neymar. Tetapi Neymar sudah memberi bayangan yang kejohanan kali ini bakal menjadi Piala Dunia terakhir bagi nya.

Luka Modrić (Croatia)

Luka Modric, seorang maestro yang sangat berpengalaman yang sudah berusia 40 tahun yang kini bermain di AC Milan turut mewarnai kejohanan Piala Dunia FIFA pada kali. Selepas menjadi nadi utama Real Madrid selama lebih sedekad, beliau memainkan peranan besar dalam era kejayaan kelab tersebut dengan pelbagai gelaran Liga Juara-Juara UEFA dan La Liga, serta menjadi simbol kestabilan di bahagian tengah. Di peringkat antarabangsa, beliau masih menjadi tonggak utama pasukan Croatia dan terus memimpin generasi baharu Croatia, menjadikan Modrić antara pemain tengah paling lama bertahan di pentas elit bola sepak dunia.

Virgil van Dijk (Netherlands)

Virgil van Dijk, contoh jelas bagaimana seorang pertahanan moden bermain di era bola sepak moden, yang kurang memandang aspek seni bertahan dalam bola sepak moden. Kehadirannya membantu Liverpool memenangi Liga Juara-Juara UEFA 2018/19 dan Liga Perdana Inggeris 2019/20, serta kekal sebagai pemain utama walaupun selepas pulih daripada kecederaan serius pada 2020. Kini, beliau masih kapten Liverpool dan juga kapten pasukan Belanda serta terus menjadi tonggak utama dalam skuad kebangsaan di Piala Dunia kali ini.

Manuel Neuer (Germany)

Berani dan “revolusioner”. Itulah ungkapan yang sesuai bagi penjaga gol berstatus legenda seperti Manual Neuer. Dengan gaya “sweeper keeper” yang terkenal, beliau membantu Jerman menjuarai Piala Dunia 2014. Kehadiran Manuel Neuer di kem pasukan Jerman kali ini bersifat kontroversi kerana beliau sudah mengumunkan persaraan di peringkat antarabangsa pada bulan Ogos 2024, akan tetapi dipanggil semula oleh jurulatih skuad Jerman, Julian Nagelsmann pada saat akhir.

Guillermo Ochoa (Mexico)

Nama Guillermo Ochoa hampir sinonim dengan Piala Dunia. Penjaga gol Mexico ini bakal mencipta sejarah sebagai pemain Mexico pertama yang terlibat dalam enam edisi Piala Dunia. Setiap kali kejohanan berlangsung, Ochoa sentiasa tampil dengan aksi luar biasa yang sukar dilupakan.Tiada Guillermo Ochoa, bukanlah namanya Mexico di Piala Dunia. Beliau menyertai Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sebagai pemain yang sudah beraksi untuk enam edisi Piala Dunia bermula dari Piala Dunia 2002 di Korea Selatan sehinggalah edisi 2026. Dan setiap kali dia bermain di Piala Dunia, beliau akan mempamerkan aksi yang luar biasa khususnya pada perlawanan-perlawanan tumpuan.

James Rodriguez (Colombia)

Siapa sangka satu gol berkelas dunia dari seorang anak muda dari Colombia di Piala Dunia, mampu mengubah masa depan anak muda tersebut. Itulah James Rodriguez. Gol tersebut telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah FIFA Puskas pada tahun 2015 dan sebelum itu, beliau juga turut merangkul Anugerah Kasut Emas pada Piala Dunia 2014 sehinggalah beliau direkrut oleh pasukan Real Madrid. Walaupun kariernya mengalami pelbagai pasang surut selepas itu, James masih kekal sebagai ikon bola sepak Colombia.

Edin Džeko (Bosnia and Herzegovina)

Buat pengetahuan semua, Bosnia dan Herzegovina hanya pernah beraksi sekali di Piala Dunia sebelum ini iaitu pada edisi 2014 di Brazil. Namun, perjuangan pasukan Bosnia and Herzegovina untuk kembali bermain di Piala Dunia hampir sama ceritanya dengan perjuangan salah seorang pemain legenda mereka iaitu Edin Dzeko. Kini, beliau sedang bermain untuk pasukan FC Schalke 04 yang bakal bermain semula di Bundesliga dan Piala Dunia 2026 bakal jadi kejohanan besar yang terakhir untuk karier bola sepak beliau.

Casemiro (Brazil)

Casemiro, salah seorang daripada trio legenda Real Madrid bersama Toni Kroos dan Luka Modrić, merupakan pemain tengah bertahan yang menjadi aset penting kepada dominasi kelab itu di Eropah sebelum berpindah ke Manchester United pada tahun 2022. Di Old Trafford, beliau terus menjadi pemain penting di bahagian tengah dan membantu pasukan memenangi EFL Cup 2022/23. Biarpun beliau belum ada kata putus ke mana hala tuju karier bola sepak nya selepas kontrak beliau bersama Manchester United sudah tamat, tetapi itu tidak mengganggu fokus beliau di peringkat antarabangsa. Pada edisi Piala Dunia kali ini, buat julung kali-nya dia diberi pemghormatan sebagai kapten pasukan Brazil dan juga sebagai tonggak utama pasukan Brazil.

Kevin De Bruyne (Belgium)

Salah satu muka “Generasi Emas” pasukan Belgium ialah Kevin De Bruyne. Walaupun Belgium gagal menjuarai Piala Dunia, tempat ketiga pada 2018 kekal sebagai pencapaian terbaik mereka. Legenda Manchester City yang sudah mengecapi segala kejuaraan di peringkat kelab bersama Manchester City kini berada di hujung karier bola sepaknya bersama kelab Napoli. Piala Dunia 2026 mungkin menjadi peluang terakhir De Bruyne untuk membawa negaranya melangkah lebih jauh.

Son Heung-min (South Korea)

Bagi peminat Asia, Son Heung-min ialah simbol bahawa pemain Asia mampu berdiri sama tinggi dengan bintang-bintang Eropah dan Amerika Selatan. Kapten Korea Selatan yang juga legenda Tottenham Hotspur yang kini bermain untuk pasukan LA Galaxy di Amerika Syarikat berkemungkinan mengharungi Piala Dunia terakhirnya pada usia 34 tahun.Di peringkat antarabangsa, beliau masih menjadi harapan utama pasukan Korea Selatan dalam Piala Dunia, menjadikan Son antara ikon terbesar bola sepak Asia moden.

Granit Xhaka (Switzerland)

Siapa sangka seorang pemain yang pernah menjadi sasaran kritikan hebat ketika bersama Arsenal, kini masih mampu membarisi skuad utama pasukan Switzerland walaupun sudah berusia. Itulah Granit Xhaka. Selepas membantu Bayer Leverkusen menamatkan dominasi Bayern Munich dengan memenangi gelaran Bundesliga pertama dalam sejarah kelab pada musim 2023/24, beliau kembali ke England bersama Sunderland pada tahun 2025 dan terus dilantik sebagai kapten pasukan. Kini, sebagai kapten Switzerland dan pemegang rekod penampilan terbanyak negaranya, Xhaka bakal mengetuai Switzerland ke Piala Dunia 2026 yang berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di kejohanan tersebut.

Alisson Becker (Brazil)

Alisson Becker, seorang penjaga gol yang masih kekal relevan di liga paling kompetitif di dunia, Liga Perdana Inggeris untuk sekian lama terus menjadi tulang belakang kepada Liverpool sejak menyertai kelab itu pada tahun 2018. Beliau memainkan peranan penting dalam kejayaan Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara UEFA 2018/19 dan Liga Perdana Inggeris 2019/20, serta masih menjadi pilihan utama di posisi penjaga gol sehingga kini. Di peringkat antarabangsa, Alisson juga kekal sebagai penjaga gol utama pasukan Brazil dan dijangka terus menjadi sandaran Brazil untuk Piala Dunia 2026

Pengakhiran Sebuah Era

Piala Dunia 2026 bukan sekadar kejohanan. Ia adalah “The Last Dance” bagi 14 legenda yang telah membentuk sejarah bola sepak moden.