Skuad B-17 Brazil bangkit daripada kekecewaan dalam aksi pertama Kumpulan C dengan membelasah pasukan dari rantau Pasifik, New Caledonia 9-0 hari ini.
Selepas tewas mengejut 3-2 di tangan Iran, ubi muda Selecao tidak mahu pisang berbuah dua kali lagi ini.
Sementara New Caledonia pula mahu melupakan memori dibelasah 10-1 oleh England dalam aksi pertama Kumpulan C.
Brazil tidak menunggu lama membuka tirai jaringan menerusi Rayan pada minit ke-28 selepas menerima hantaran Estevao.
Estevao kemudiannya mencipta nama sebagai penjaring dengan menyumbat gol kedua pada minit ke-39.
Sebarang usaha New Caledonia untuk menyekat gol tambahan Brazil tidak berhasil apabila dibolosi lagi pada minit ke-44 menerusi Luighi Hanri. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Brazil terus dominan dengan penguasaan bola sebanyak 79% berbanding 21% (New Caledonia).
Estevao sekali lagi merobek pertahanan lawan apabila hantarannya mudah disempurnakan Kaua Elias pada minit ke-46.
Gawang New Caledonia yang dikawal Nicolas Kutran terus dirobek Brazil menerusi sepakan penalti Rayan pada minit ke-51.
Dominasi Selecao makin terserlah apabila kapten Vitor Nunes menambah gol keenam pada minit ke-55. Walaupun membuat empat pertukaran selepas itu, Brazil terus menambah gol menerusi Joao Cunha pada minit ke-61.
Kaua Elias melengkapkan kecemerlangan Selecao dengan dua gol pada minit ke-86 dan 94. Keputusan ini membolehkan Brazil merampas kedudukan kedua daripada Iran dalam Kumpulan C.
Sofascore mengangkat Estevao dan Kaua Elias sebagai pemain terbaik perlawanan dengan kedua-duanya memperoleh markah 10 mata.