Skuad B-17 Jepun memulakan kempen Kumpulan D dengan kemenangan dengan menewaskan Poland 1-0 hari ini.
Jepun berharap dapat mara lebih jauh selepas sebelum ini berjaya sampai ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam dua edisi Piala Dunia B-17 sebelumnya.
Sementara Poland pula berharap meraih pencapaian lebih baik selepas tersekat di peringkat kumpulan dalam edisi 1999.
Babak pertama menyaksikan Samurai Biru mengasak kubu pertahanan Poland. Malangnya, setiap percubaan mereka dinafikan oleh penjaga gol Michal Matys.
Disebabkan kecekapan penjaga gol Zaglebie Lubin itu, keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Jepun terus meningkatkan asakan ke atas kubu Poland. Biarpun membuat beberapa pertukaran, Samurai Biru terus buntu mencipta jaringan.
Cuaca buruk di Stadium Si Jalak Harupat termasuk hujan dan panahan petir seperti dilaporkan CNN Indonesia memaksa perlawanan dihentikan seketika pada minit ke-69.
Selepas beberapa lama, perlawanan kembali disambung semula. Penantian gol Jepun berakhir menerusi penyerang gantian, Rento Takaoka pada minit ke-77.
Samurai Biru terus berusaha membolosi pertahanan Poland tetapi Matys memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Jepun menerajui Kumpulan D buat sementara waktu dengan tiga mata.
Bagaimanapun, keadaan ini boleh berubah sekiranya Argentina meraih kemenangan ke atas Senegal dalam satu lagi aksi Kumpulan D.
Sofascore mengiktiraf Wataru Goto sebagai pemain terbaik perlawanan dengan 8.6 mata. Sementara Matys pula mendapat 8.1 mata sekaligus pemain terbaik Poland pada hari ini.