Skuad B-17 Maghribi mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia B-17 2023 dengan mengalahkan tuan rumah Indonesia 3-1 hari ini.
Maghribi tahu mereka memerlukan kemenangan hari ini bagi membolehkan mereka layak ke pusingan seterusnya. Indonesia turut memiliki misi sama selepas dua kali seri dalam Kumpulan A.
Maghribi terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penalti Anas Alaoui pada minit ke-29. Sembilan minit kemudian, Abdelhamid Ait Boudlal menggandakan kelebihan buat Singa Atlas.
Pemain sayap Nabil Asyura menceriakan penyokong Indonesia dengan gol pada minit ke-42. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Maghribi terus meningkatkan tekanan ke arah gawang Indonesia yang dikawal Ikram Al Giffari.
Gol ketiga yang dicari mereka akhirnya muncul pada minit ke-64 menerusi Mohamed Hamony selepas menerima hantaran Abdel Hamed Maali.
Gol tersebut sudah cukup untuk memastikan tiga mata diraih Singa Atlas pada akhir perlawanan. Keputusan ini membolehkan Maghribi layak ke pusingan seterusnya sebagai naib juara Kumpulan A.
Bagaimanapun, ini bukan bermakna perjuangan Indonesia sudah berakhir. Mereka masih memiliki peluang layak ke pusingan seterusnya sebagai sebahagian daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan.
Indonesia kini mengharapkan Mexico (Kumpulan F) dan Korea Selatan (Kumpulan E) yang berada di bawah mereka untuk tidak mengutip mata dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka.
Sofascore mengangkat Hamony sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.8 mata. Sementara Ikram pula dipilih pemain terbaik Indonesia dengan 7.3 mata.