Piala Dunia U17: Perancis Manfaatkan Kekurangan Mali Untuk Ke Final
Piala Dunia
Adi Weda
Advertisements

Perancis menepati ramalan untuk ke perlawanan akhir Piala Dunia Bawah 17 Tahun (U17) selepas menewaskan Mali dalam aksi separuh akhir di Stadium Manahan Kota Surakarta, Indonesia sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan aksi positif kedua-dua pasukan dengan Mali terlebih dahulu menguji gawang Perancis yang dijaga Paul Argney seawal minit ke-5 melalui rembatan Ibrahim Diarra namun berjaya diselamatkan penjaga gol.

Peluang terbaik Perancis hadir pada minit ke-18 melalui pemain Stade Rennais FC, Mathis Lambourde namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Mali.

Advertisements

Selepas percubaan tersebut, Mali dilihat lebih kerap melancarkan serangan ke kubu Perancis bagi mendapatkan gol pendahuluan.

Ketika separuh masa pertama hampir ditamatkan, Ibrahim Diarra berjaya meletakkan Mali 1-0 di hadapan melalui percubaan mudah dari jarak dekat sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan tipis memihak Mali.

Bersambung babak kedua, Mali menerima tamparan hebat apabila seawal minit keke-54, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Souleymane Sanogo dilayangkan kad merah oleh pengadil. Kad merah tersebut dilayangkan selepas melihat Video Pembantu Pengadil (VAR).

Advertisements

Kekurangan Mali itu digunakan sebaiknya oleh Perancis yang pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-56 hasil penyudah Yvann Titi yang menanduk kemas sepakan percuma.

Mali cuba bangkit dengan penguasaan bola yang lebih baik namun segalanya tampak tidak menjadi buat mereka yang sememangnya merasai kesukaran beraksi kurang seorang pemain.

Perancis akhirnya berjaya di hadapan buat pertama kali selepas Ismail Bouneb berjaya meledak melalui sepakan percuma menarik pada minit ke-69.

Advertisements

Ketinggalan 1-2, Mali tidak patah semangat dan masih berada di dalam mod serangan. Mamadou Doumbia hampir menyamakan kedudukan buat Mali pada minit ke-85 namun tandukannya meliar.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat. Dengan keputusan itu, Perancis berjaya mara ke perlawanan akhir dan bakal bertemu Jerman pada aksi yang dijadualkan berlangsung pada 2 Disember.

Manakala Mali bakal bertemu Argentina pada 1 Disember untuk penentuan tempat ketiga. Argentina telah tewas kepada Jerman dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Advertisements

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram