Piala Dunia: Uruguay Tergamam Diikat Korea Selatan
Piala Dunia
FIFAPlus
Advertisements

Hasrat pasukan gergasi Amerika Selatan, Uruguay melakar kemenangan pertama dalam Kumpulan H Piala Dunia tidak kesampaian selepas diikat seri tanpa jaringan oleh Korea Selatan.

Babak pertama menyaksikan permainan seimbang membabitkan kedua-dua pasukan. Uruguay yang menduduki ranking ke-14 dunia berusaha mendominasi permainan tetapi sentiasa dikejutkan dengan serangan balas Pahlawan Taeguk yang diketuai ayam tambatan Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

Peluang terbaik pada babak pertama menyaksikan Harimau Asia hampir mendahului La Celeste pada minit ke-34. Bek kanan Jeonbuk Kim Moon-hwan membuat satu hantaran lintang dalam kotak penalti kepada penyerang Bordeaux, Hwang Ui-jo. Bagaimanapun, sentuhan pertamanya menyaksikan bola terbang melepasi gawang Uruguay yang dikawal Sergio Rochet.

Advertisements

Uruguay juga hampir mendahului lawan mereka menerusi tandukan bek tengah veteran Diego Godin pada minit ke-44. Bagaimanapun, tandukan bekas bek tengah Atletico Madrid itu hanya melantun pada tiang sebelum terkeluar jauh daripada gawang Korea Selatan. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mendapatkan gol pertama perlawanan. Pahlawan Taeguk naik angin apabila bek kiri Kim Jin-su dikatakan dijatuhkan oleh rakan sepasukan Heung-min di Spurs, Rodrigo Bentancur dalam kotak penalti pada minit ke-52. Bagaimanapun, rayuan mereka untuk mendapatkan sepakan penalti tidak dilayan oleh pengadil mahupun VAR.

Barisan serangan Uruguay yang diterajui penyerang Liverpool, Darwin Nunez berusaha menembusi gawang Korea Selatan yang dikawal penjaga gol Al-Shabab, Kim Seung-gyu. Nunez mencuba nasib menerusi percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-83 tetapi percubaannya tersasar.

Advertisements

Minit-minit akhir perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terus kempunan mendapatkan gol. Pemain tengah Real Madrid, Federico Valverde kecewa apabila sepakan jarak jauhnya pada minit ke-90 mengenai tiang. Sementara percubaan Heung-min pula tersasar ke sebelah kanan gawang Uruguay tak lama selepas itu. Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, kedua-dua pasukan terikat satu mata dalam kumpulan yang turut mengandungi Ghana dan Portugal. Uruguay bakal berdepan Portugal pada tengah malam 29 November dengan Korea Selatan bakal menentang Ghana pada 28 November.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram