Aksi pusingan keempat Piala EFL menyaksikan Manchester City ditunjuk jalan keluar oleh kelab dari London, Tottenham Hotspurs.
Kedua-dua pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) ini mara selepas masing-masing menewaskan Watford dan Coventry City di pusingan sebelum ini pada pertengahan September lalu.
City merehatkan beberapa tonggak utama dan membariskan nama-nama seperti Matheus Nunes dan Savinho sementara Spurs pula diketuai bek kelahiran Argentina, Cristian Romero.
Seawal minit kelima, Timo Werner terlebih dahulu meletakkan Spurs di hadapan selepas memanfaatkan lorongan berkualiti dari Dejan Kulusevski untuk menceriakan kem tuan rumah.
Anak didik Ange Postecoglou terus menggandakan kelebihan dengan jaringan kedua apabila pemain tengah, Pape Matang Sarr melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti di minit ke-25.
Sebelum babak pertama berakhir, Matheus Nunes meledak gol pertama buat pelawat setelah bijak menyambar hantaran lintang dari sebelah kanan untuk merapatkan kedudukan.
Separuh masa pertama tamat, Tottenham Hotspurs 2-1 Manchester City.
Kembali dari rehat, City terus mengasak bertali arus ke arah kubu Spurs namun aksi kebal pertahanan dan penjaga gol, Guglielmo Vicario mengecewakan anak buah Pep Guardiola.
Tambahan masa enam minit diberikan namun tiada jaringan dapat dijaringkan di babak kedua sekaligus menyaksikan City terpaksa akur ditunjuk jalan keluar oleh Spurs.
Perlawanan di Tottenham Hotspurs Stadium berakhir dengan keputusan 2-1 memihak tuan rumah.
Selain Spurs, beberapa kelab EPL juga menempah tempat ke pusingan seterusnya seperti Brentford, Southampton, Crystal Palace, Manchester United, Liverpool, Newcastle United dan Arsenal.