Advertisements
Piala EFL: Cody Gakpo Pacu Liverpool Ke Suku Akhir, Tundukkan Brighton
Eropah
MakanBola
Liverpool FC

Dua gol Cody Gakpo pada separuh masa kedua memastikan Liverpool menewaskan Brighton 3-2 di pusingan 16 pasukan terbaik Piala EFL.

Kedua-dua pasukan mahu meneruskan rentak baik dalam kejohanan ini untuk meraih trofi buat jurulatih, Arne Slot (Liverpool) dan Fabian Hurzeler (Brighton).

Gakpo dan Luis Diaz menjadi sandaran gol The Reds. Manakala Julio Enciso dan Evan Ferguson menjadi pilihan Hurzeler untuk merobek gawang pelawat.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium Amex.

Brighton hampir mendahului pada minit ke-13 menerusi Tariq Lamptey tetapi dinafikan penjaga gol muda Liverpool, Vitezslav Jaros.

The Reds makin cemas apabila Enciso melakukan percubaan jarak jauh pada minit ke-30. Barisan pertahanan Liverpool menghela nafas lega kerana percubaan pemain Paraguay itu hanya melepasi palang gol.

Tiga minit selepas itu, giliran Liverpool mengancam kubu pertahanan The Seagulls menerusi Dominik Szoboszlai. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol, Jason Steele.

Kedua-dua pasukan terus berusaha memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Hurzeler membuat pertukaran pertama dengan memasukkan Pervis Estupinan menggantikan bek kiri Turkiye, Ferdi Kadioglu.

Penyokong Brighton di Stadium Amex kemudiannya tergamam apabila Gakpo meledakkan rembatan lencong cantik yang menewaskan Steele pada minit ke-46.

Tersentak, The Seagulls berusaha mencari gol penyamaan. Mereka hampir melakukannya pada minit ke-50 menerusi Simon Adingra tetapi tandukan jarak dekatnya dinafikan Jaros.

Tatkala tuan rumah terus memberi tekanan kepada Liverpool, gawang mereka bocor lagi pada minit ke-61. Gakpo berjaya mencuri bola daripada Lamptey sebelum menewaskan Steele dengan rembatan rendah yang deras.

Penyokong Brighton kembali ceria apabila Adingra merapatkan jurang pada minit ke-81. Pemain sayap Ivory Coast itu mudah menolak bola muntah percubaan Ferguson selepas percubaan sebelumnya ditepis Jaros.

Diaz mengembalikan kelebihan dua gol Liverpool menerusi percubaan yang melepasi kaki pertahanan The Seagulls pada minit ke-85.

Lamptey menyumbat gol kedua buat tuan rumah pada minit ke-90. Malangnya, gol tersebut sudah terlambat untuk menghalang The Reds layak ke suku akhir Piala EFL.

Keputusan ini membawa Liverpool layak ke pusingan suku akhir bersama Brentford dan Southampton yang terlebih dahulu layak. Gakpo dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.9.

Selepas ini, kedua-dua pasukan bakal bertemu lagi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada 2 November ini.