Kapten Selangor, Safuwan Baharudin muncul wira pasukan untuk menyingkirkan Terengganu dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA pada Sabtu.
Terengganu hanya membawa bekalan tipis ke Kelana Jaya setelah mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Selangor dalam aksi pertama di Gong Badak dua minggu yang lalu.
Pemain sayap, Faisal Halim kembali di bangku simpanan Selangor manakala Terengganu menaruh harapan buat Safawi Rasid dan Akhyad Rasyid di jentera sayap pasukan.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan hasil tandukan kapten, Safuwan Baharudin seawal minit ke-3 dan ke-6, sekaligus menjadikan agregat 4-3 memihak Selangor.
Penyerang Terengganu, Ismaheel Akinade menghidupkan kembali peluang buat Sang Penyu setelah membuat larian solo dari sebelah kanan sebelum mencetak gol pada minit ke-22.
Tiada sebarang jaringan tambahan terhasil selepas itu sehinggalah tamat babak pertama dengan keputusan 2-1 memihak Selangor.
Kembali dari bilik persalinan, Selangor mula menambah asakan ke arah kubu lawan tatkala pelawat cuba bangkit mencari jaringan penyamaan.
Usaha anak didik Nidzam Jamil membuahkan hasil apabila Safuwan Baharudin melengkapkan hatriknya pada minit ke-53 menerusi satu voli kencang yang menewaskan Syed Nasrulhaq.
Beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pasukan ketika menuju penghujung permainan namun gol Reziq pada masa tambahan sudah cukup untuk memastikan kejayaan Selangor.
Aksi di Stadium MBPJ berakhir dengan kemenangan 4-1 buat Gergasi Merah dan secara agregat, Selangor layak ke final dengan keputusan 6-4.
Kemenangan ini membawa Selangor mara ke pentas akhir Piala FA yang dijadualkan pada 24 Ogos dan akan bertemu pemenang di antara Johor Darul Ta’zim atau Kedah.