Kelibat tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias mula melakukan persiapan menjelang aksi berdepan Malaysian University dalam saingan Piala FA.
Sebelum ini, nama Jalil Elias mula hangat diperkatakan setelah terdapat khabar angin mengenai pemain berusia 27 tahun ini bakal kembali pulang ke Amerika Selatan bersama bekas kelabnya, San Lorenzo.
Ditambah pula apabila sosok tubuh pemain kebangsaan Syria ini tidak kelihatan ketika aksi Liga Super Sabtu lalu berdepan Sri Pahang yang menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau berkemungkinan tiada lagi dalam perancangan skuad JDT.
Namun, ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio menepis dakwaan tersebut setelah tampil menjelaskan ketiadaan Jalil adalah disebabkan oleh lambakan pemain berkualiti di dalam skuad yang menyebabkan namanya diketepikan.
“Jalil Elias pemain yang bagus tetapi kami memiliki pemain dan skuad yang baik. Jadi ini merupakan hanya satu keputusan yang dibuat pada perlawanan ini,” ujarnya kepada Astro Arena.
Terbaharu, satu foto yang dimuatnaik oleh Johor Southern Tigers di laman Facebook menyaksikan keberadaan Jalil bersama rakan sepasukan yang lain sedang giat menjalani sesi latihan pada Selasa bagi menghadapi aksi seterusnya.
Sesi latihan yang dikendalikan oleh Hector Bidoglio itu turut disertai beberapa pemain utama skuad Harimau Selatan yang lain seperti Syihan Hazmi, Arif Aiman dan Chico Geraldes.
Aksi suku akhir pertama Piala FA nanti menyaksikan JDT dijadualkan bertemu wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University, berkemungkinan di Stadium Sultan Ibrahim pada 29 Jun ini setelah mendapat kelulusan MFL.