Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa penyokong agar tidak mencetuskan provokasi melampau menjelang aksi final Piala FA 2024.
Peringatan tegas itu dinyatakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Rusdi Mohd Isa dalam sidang media keselamatan aksi final Piala FA 2024.
Aksi final Piala FA 2024 pada 24 Ogos ini menemukan dua pasukan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor FC.
Isu provokasi melampau dalam kalangan penyokong bola sepak bukan perkara baru. Provokasi sebegini bukan saja mencetuskan kekecohan dalam kalangan penyokong sebelum, semasa dan selepas perlawanan berlangsung.
Malah, provokasi sebegini juga memberi cabaran kepada pihak berkuasa untuk mengawal situasi keselamatan di stadium dengan aman dan selamat.
Atas sebab itu, Rusdi mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan agar tidak melakukan provokasi dan menjaga tatasusila semasa berada di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada hari perlawanan.
“Nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada semua orang untuk menjaga tatasusila dan tidak menimbulkan provokasi.
“Kebanyakan insiden dalam stadium ini baik semasa perlawanan, selepas perlawanan ataupun dalam perjalanan ke tempat kenderaan diletakkan, akan berlaku provokasi melampau yang boleh mencetuskan kekecohan.
“Jadi, nasihat kepada orang ramai, jaga tatasusila, jaga tatakelola dan jangan menimbulkan provokasi yang melampau. Kalau kita sekadar nak gembira (dan) menang itu OK, jangan kita buat provokasi melampau,” katanya.
Bagi menjamin kelancaran kawalan keselamatan di SNBJ pada hari perlawanan, PDRM bakal menggerakkan 2,488 orang anggota di dalam dan luar stadium.
Jumlah ini melebihi jumlah anggota yang digerakkan PDRM untuk aksi final Piala FA 2015 membabitkan Kelantan dan Lions XII.
PDRM juga bersedia melaksanakan beberapa penutupan dan lencongan terhadap jalan-jalan sekitar stadium sekiranya wujud keperluan. Ini termasuk mengambil kira kemungkinan lot-lot tempat meletak kenderaan yang hampir penuh.