Aksi final Piala FA 2024 yang menemukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor FC bakal menyaksikan kehadiran 2,000 anggota polis.
Perkara ini didedahkan dalam kunjungan hormat delegasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) diketuai Presiden, Dato’ Ab Ghani Hassan ke atas Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Rusdi Mohd Isa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Kunjungan ini bukan saja sebagai tanda penghargaan MFL kepada PDRM kerana membantu kelancaran perlawanan-perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang diadakan di ibu negara.
Malah, kunjungan ini turut digunakan delegasi MFL untuk sedikit taklimat berkenaan final Piala FA 2024 antara JDT dan Selangor. Ini disebabkan PDRM bertanggungjawab menyelaraskan kawalan keselamatan untuk aksi berkenaan.
Menurut Dato’ Rusdi, PDRM bakal bakal menempatkan seramai 2228 anggota pada hari perlawanan. Mereka bukan saja mengawal keselamatan sekitar venue pertandingan, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetapi mengawal kelancaran trafik.
Ini bukan kali pertama PDRM menempatkan ramai anggota untuk membantu melancarkan perjalanan perlawanan final Liga M. Aksi final Piala Malaysia 2014 antara JDT dan Pahang (kini Sri Pahang FC) menyaksikan 3,000 anggota polis ditempatkan di SNBJ.
Sementara aksi final Piala FA 2015 antara Kelantan dan Lions XII pula menyaksikan 2,000 anggota polis ditempatkan di SNBJ.
JDT dan Selangor masing-masing layak ke pentas final selepas mengatasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC di peringkat separuh akhir. Kedua-dua pasukan bakal berentap di SNBJ pada 24 Ogos ini.