Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui berpuas hati dengan kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi final Piala FA 2024.
Sebelum ini, isu kualiti padang SNBJ yang teruk pernah menjadi bualan penyokong terutama membabitkan aksi-aksi bola sepak berprofil tinggi.
Antara aksi yang terjejas akibat kualiti padang SNBJ yang kurang elok ialah aksi final Piala Malaysia 2023 dan aksi kelayakan Piala Dunia 2026 membabitkan Malaysia dan Oman.
Kualiti padang SNBJ yang kurang elok ketika itu bukan saja mendapat kritikan ramai pihak termasuk penyokong. Malah, ini merencatkan rentak permainan pasukan yang beraksi dan berpotensi mengundang kecederaan kepada pemain.
Sejak itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berusaha memastikan kualiti padang SNBJ sentiasa berada pada tahap terbaik.
Selepas menyelia sesi latihan Selangor di SNBJ beberapa hari lalu, Nidzam berpuas hati dengan kualiti padang. Dan beliau percaya ini akan membantu Selangor beraksi pada tahap terbaik di pentas final.
“Tapi sekali lagi, kita bermain di padang yang sama dengan pasukan lawan. Saya rasa tiada (masalah). Kita sudah cuba padang, saya fikir padang bagus (dan) tiada apa-apa isu,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan final Piala FA 2024 pada 23 Ogos lalu.
Maklum balas Nidzam juga dijangka memberi kelegaan kepada penyokong Harimau Malaya. Ini kerana SNBJ turut akan digunakan untuk Pestabola Merdeka 2024.
Selangor bakal berentap dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk merebut kejuaraan Piala FA edisi 2024. Merah Kuning berharap dapat mengakhiri penantian bergelar juara kejohanan itu sejak edisi 2009.
Selangor turut menerima tonik tambahan apabila pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim dilihat sudah bersedia diturunkan untuk aksi final.