Pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC terpaksa menelan kepahitan apabila tewas kepada wakil Sarawak, Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024.
Meskipun aksi ini dibadai cuaca buruk, kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan di Stadium Negeri, Kuching. Ini diharap dapat dijadikan sebagai tonik aksi suku akhir kedua yang akan berlangsung di Stadium MBPJ.
Selangor menurunkan barisan terkuat diketuai kapten dan bek tengah Singapura, Safuwan Baharudin. Sementara James Okwuosa pula mengetuai cabaran The Cats.
Babak pertama menyaksikan Merah Kuning berusaha mendapatkan kelebihan gol awal selaku pasukan pelawat.
Pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes hampir menggegar gawang Kuching City yang dikawal Shahril Saari pada minit ke-10 tetapi percubaannya tidak menepati sasaran.
Sementara The Cats pula hampir menembusi gawang Merah Kuning yang dikawal Samuel Somerville pada minti ke-27 menerusi Zharmien Asyraf. Malangnya, sepakan derasnya dinafikan Somerville dengan percubaan susulan Jordan Mintah juga berjaya dipatahkan.
Selangor akhirnya mendahului pada minit ke-31 menerusi Ronnie Fernandez. Sepakan percuma yang diambil Yohandry Orozco mencetuskan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti tuan rumah.
Meskipun bola Orozco berjaya ditepis Shahril, Fortes berusaha menolak bola muntah tetapi terkena palang. Peluang itu pantas direbut Fernandez untuk menolak bola masuk ke dalam jaring.
Tersentak, Kuching City yang dibimbing Aidil Sharin Sahak kembali mengasak. Mereka mendapat talian hayat apabila Okwuosa menolak bola muntah sepakan percuma Luiz Fernando Welter pada minit akhir babak pertama untuk menjadikan keputusan 1-1.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus menggandakan serangan bagi mendapatkan kelebihan gol tambahan.
The Cats yang mendapat sokongan padu penyokong hampir menembusi gawang Selangor buat kali kedua menerusi Mintah pada minit ke-57. Malangnya, dua percubaan beliau berjaya dinafikan Somerville.
Gawang pelawat akhirnya bocor pada minit ke-65 menerusi bekas penyerang Terengganu FC itu. Kesilapan komunikasi antara Somerville dan Sharul Nazeem Zulpakar membuka ruang buat Mintah menolak bola ke dalam gawang.
Tersentak, Merah Kuning berusaha untuk bangkit mendapatkan gol penyamaan. Fortes hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-74 tetapi rembatan lencongnya ditepis Shahril.
Pengendali Selangor, Nidzam Jamil membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat meningkatkan momentum kembali memihak kepada pasukannya.
Fortes terus mengancam gawang Kuching City pada minit ke-85 selepas menerima hantaran Fernandez. Bekas pemain RKC Waalwijk itu hampa apabila tandukannya terkena palang.
Selangor terus memberi tekanan ke atas The Cats tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Kuching City memiliki kelebihan agregat 2-1.
Merah Kuning perlu mengatasi kelebihan agregat itu pada 6 Julai ini jika ingin mara ke separuh akhir Piala FA 2024.