Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio percaya Sri Pahang tetap pasukan yang kuat menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di final dengan JDT turun sebagai pilihan berbekalkan status selaku juara bertahan dan akan menentang Sri Pahang yang turun tempang tanpa dua pemain.
Penyerang import, Kpah Sherman terlepas aksi final ini gara-gara penggantungan kad kuning tatkala Manuel Hidalgo pula terikat dengan perjanjian sebagai pemain pinjaman daripada JDT.
Sungguh pun begitu, Hector Bidoglio tidak melihat itu bagai satu kelebihan buat JDT oleh kerana perlawanan ini adalah aksi yang berbeza dan lebih memilih untuk fokus kepada persiapan sendiri.
”Saya sudah katakan selama ini, aksi final adalah perlawanan yang sukar dan juga kami perlu tumpukan kepada diri sendiri tanpa memikirkan pasukan serta pemain lawan.”
Beliau turut melihat pasukan Sri Pahang tetap lawan yang baik serta kuat sehingga berjaya menempatkan diri di aksi final kali ini selepas menempuh perjalanan dari pusingan awal.
”Bagi saya, Sri Pahang adalah pasukan yang baik dan kuat Mereka telah bermain dengan sangat baik,” kata Hector Bidoglio ketika sidang media pra perlawanan.
“Ini adalah permainan yang sangat penting buat kami (JDT). Pemain saya juga telah bekerja keras sepanjang musim yang panjang ini,” tambah beliau.
Aksi final JDT vs Sri Pahang akan berlangsung pada Sabtu, April ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula perlawanan tepat jam 9 malam.