Piala MFL: Penang Hentikan Rentak Kemenangan Terengganu
MakanBola
Terengganu FC II

Hajat Terengganu FC II untuk terus memburu kelompok empat teratas Piala MFL lebur apabila sekadar seri 2-2 dengan Penang FC II di Stadium Bandaraya.

Terengganu II mahu meneruskan momentum kemenangan selepas membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 4-0 pada 23 September lalu. Manakala Penang II pula ingin kembali meraih tiga mata selepas diikat 2-2 oleh Sabah FC.

Penolong ketua jurulatih, Haris Safwan Kamal diberi tugas mengendali Terengganu II. Ini selepas ketua jurulatih, Hairuddin Omar dilantik sebagai penolong pemangku jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Terengganu berusaha mencari gol pembukaan menerusi penyerang import, Nnabuike Chijioke Chukwu.

Ad

Ini memaksa barisan pertahanan Penang II diketuai Nabil Ahmad Nizam bekerja keras menangkis asakan juara Piala MFL 2023 itu.

Penang II yang dibimbing Manzoor Azwira Abdul Hamid turut berusaha mencari gol menerusi gandingan Aidil Danial Izhar, Idrzuwan Daud dan Muhammad Akid Zamri tetapi tidak berhasil.

Ad
Ad

Kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan sekaligus memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung selepas rehat, Haris Safwan memasukkan Khalaif Naskam dan Syaiful Haqim Shahrul untuk menambah taji bahagian serangan Terengganu.

Manakala Manzoor pula memasukkan Mujibur Rahman Ahmad Zaki dan Aiman Fitrie Ismail pada minit ke-55.

Percaturan jurulatih berusia 47 tahun itu membuahkan hasil apabila Idrzuwan meletakkan skuad muda Harimau Kumbang di hadapan pada minit ke-63.

Perlawanan kemudiannya ditangguhkan pada minit ke-70 kerana masalah teknikal. Perlawanan hanya disambung semula beberapa jam selepas itu.

Tersentak, skuad muda Peteh berusaha mencari gol penyamaan. Hasilnya, Chijioke meledakkan gol keenamnya dalam saingan Piala MFL menerusi penalti pada minit ke-79.

Gol tersebut mendorong Terengganu II meraih gol kedua pada minit ke-81 menerusi Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid. Penang II kemudiannya mengikat keputusan 2-2 menerusi Adam Nadzmi dua minit selepas itu.

Usaha keras pertahanan Harimau Kumbang memastikan pasukan itu berkongsi mata dengan Peteh di Stadium Bandaraya. Keputusan ini menyaksikan Penang II dan Terengganu II masing-masing menduduki tangga keenam dan kesembilan liga.

Selepas ini, Terengganu II akan menentang Sabah FC II di Stadium Likas pada 23 Oktober. Manakala Penang pula menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II pada 28 Oktober.