Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner secara rasmi berpisah bersama kelab Pantai Timur.
Berita ini dimaklumkan oleh Terengganu FC menerusi satu hantaran di laman media sosial yang menyaksikan Tomislav bersetuju untuk menamatkan kontrak beliau selaku ketua jurulatih.
“Kelab Terengganu FC telah mengadakan satu perbincangan bersama pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner dan telah mencapai satu persetujuan bersama untuk penamatan kontrak beliau sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama Terengganu FC bagi musim ini.”
“Namun begitu, perbincangan akhir berkenaan terma penamatan masih dalam perbincangan diantara kedua-dua pihak,” umum Terengganu FC dalam satu kenyataan.
“Turut mengikuti bersama proses ini adalah 2 orang staf di barisan kejurulatihan iaitu Ivica Vranješ (Penolong Jurulatih) dan Hrvoje Bradasic ( Jurulatih Kecergasan).”
Penamatan kontrak ini dilakukan setelah melihat prestasi semasa Sang Penyu yang gagal meraih kemenangan dalam 5 aksi terakhir selain demi menjaga hubungan semua pihak yang terlibat.
“Langkah ini diambil dan diputuskan bersama atas dasar melihatkan prestasi semasa pasukan serta dalam usaha kelab untuk memelihara perhubungan diantara para pemain, penyokong dan imej kelab secara keseluruhannya.”
Terengganu juga mengumumkan tugas ketua jurulatih bakal digalas buat sementara waktu oleh Badrul Afzan yang bertindak selaku pembantu Tomislav sebelum ini sehingga diberitahu kelak.
“Bermula hari ini, tugasan untuk mengendalikan pasukan utama ini akan digalas oleh Penolong Ketua Jurulatih, Badrul Afzan buat sementara waktu.”
“Tomislav menyatakan beliau bersetuju atas dasar seperti mana yang telah dinyatakan dan berharap kelab ini mampu terus bergerak dengan baik dan lebih berjaya pada masa-masa yang akan datang.”