Piala MFL: Selangor Sekat Hajat Kemenangan Kedah
MakanBola
Kedah Darul Aman FC B
Sponsors

Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B mencipta kejutan menewaskan Selangor FC musnah apabila pasukan itu diikat 1-1 di Stadium Darul Aman.

Kedah B mahu bangkit selepas tewas 1-0 kepada Negeri Sembilan FC. Manakala Selangor pula mahu terus menghambat Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II selepas menewaskan KL City FC Extension 2-0.

Ad

Barisan muda Sang Kenari mendapat suntikan empat pemain senior termasuk penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad. Manakala skuad muda Selangor pula diperkuatkan dengan kehadiran Omid Musawi dan Alex Agyarkwa.

Ad

Kedah B tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Afeeq Iqmal Rosli seawal minit pertama.

Penyerang berusia 25 tahun itu pantas memanfaatkan peluang gol sebelum menewaskan penjaga gol The Red Giants, Azeem Izhar Ahmad Rizal.

Ad

Tersentak, Selangor berusaha mendapatkan gol penyamaan menerusi Musawi dan pemain tengah Malaysia Bawah 20 Tahun (B-20), Haykal Danish Mohd Haizon.

Ad

Ini memaksa barisan pertahanan Sang Kenari diketuai kapten, Amirul Hisyam Awang Kechik bekerja keras menyekat serangan pelawat. Usaha keras pertahanan Kedah B memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Ad

Bersambung selepas rehat, jurulatih Kedah B, Khairul Ismail memasukkan Akmal Hakim Rosli menggantikan Abdul Halim Saari untuk memantapkan jentera tengah pasukan.

Tidak mahu pasukannya terus ketinggalan, pengendali Selangor, Shaiful Nizam Ab Khamis memasukkan Abdul Rahman Daud dan Fakhri Azri Khairi Anuar.

Melihat pelawat terus meningkatkan asakan, Khairul mengeluarkan Syafiq dan memasukkan Muhammad Ammar Shukri pada minit ke-71.

Tatkala Kedah menyangka telah berjaya meraih tiga mata penuh, gol saat akhir memastikan Selangor meraih satu mata.

Keputusan ini menyaksikan Sang Kenari kekal di tangga ke-11 dengan sembilan mata. Manakala Selangor pula kekal di tangga kedua dengan 24 mata.

Selepas ini, Kedah B akan menentang KL City Extension pada 5 November. Manakala Selangor akan bertandang ke Kuching untuk menentang Kuching City pada hari yang sama.