Advertisement
Piala MFL: Selangor Beri Kekalahan Pertama Buat KL City
MFL
MakanBola
Selangor FC

Aksi minggu ke-12 Piala MFL menyaksikan Selangor II meleburkan rekod tanpa kalah KL City Extension pada petang Selasa.

Setelah tumbang di tangan JDT minggu lalu, Selangor turun ke Cheras untuk bertemu KL City yang kini berada di tangga ketiga, berkongsi 20 mata bersama di carta Piala MFL terkini.

Kesebelasan utama Selangor ditunjangi pemain muda seperti Haykal Danish serta Omid Musawi sementara Lawton Green diberi peranan penting untuk mengemudi pintu gol KL City.

Aksi bermula baik buat Selangor apabila berjaya meledak gol pertama seawal minit kedua permainan menerusi penyudah Harry Danish untuk memberi kelebihan awal buat pelawat.

Seakan tersentak, KL City mula bangkit mengatur serangan ke arah kubu lawan namun dipatahkan dengan penguasaan bola yang memihak Selangor sepanjang pertengahan aksi.

Pada minit ke-43, giliran Nabil Qayyum pula meletakkan The Red Giants mendahului selesa dengan kelebihan dua jaringan sebelum kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan.

Separuh masa pertama tamat, KL City Extension 0-2 Selangor II.

Kembali dari rehat, KL City dan Selangor tampil bertenaga dengan kemasukan beberapa pemain dari bangku simpanan dalam misi untuk merobek gawang lawan masing-masing.

Tuan rumah merekodkan empat percubaan tepat ke arah gawang Selangor namun masih gagal menewaskan penjaga gol, Ahmad Azeem Izhar hingga tamat perlawanan.

Perlawanan di Stadium Cheras berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Selangor II.

Saingan Piala MFL minggu hadapan menyaksikan Selangor bakal berkunjung ke utara tanah air untuk bertemu Kedah Darul Aman B manakala KL City pula menentang Perak II di tempat lawan.