Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menafikan pengarah teknikal, John Beasley telah meletak jawatan.
Perkara ini dinyatakan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh dalam satu sidang media yang disiarkan di YouTube Astro Arena pada Jumaat.
Amarjit memaklumkan jurulatih Australia itu akan terus kekal membantu program berbasikal trek negara sehingga ke satu tempoh yang akan dinyatakan kelak.
Pengumuman itu sekaligus menamatkan desas-desus tentang status Beasley bersama PKBM. Sebelum ini, jurulatih Australia itu menyatakan rasa kecewa terhadap politik dalaman yang wujud dalam arena sukan berbasikal negara.
Perkara itu turut disahkan jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang menerusi satu hantaran di media sosial baru-baru ini.
Beasley dilaporkan mahu menimbang semua pilihan yang ada. Ini termasuk memilih kembali berkelana di luar negara untuk meneruskan karier kejurulatihannya.
Pendedahan itu mengejutkan ramai pihak termasuk Amarjit dan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari. Susulan itu, kedua-dua figura itu mahu menyelesaikan isu berkenaan demi kebaikan sukan berbasikal negara.
Ini memandangkan Malaysia bakal menghadapi dua kejohanan besar selepas ini iaitu Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia 2026.