Pemain pertahanan Harimau Malaya dan Buriram United, Dion Cools mungkin terpaksa melupakan posisi pertahanan tengah kelab gergasi Thailand itu.
Ini selepas Buriram United dikhabarkan bakal membawa masuk seorang pemain baharu yang sarat dengan pengalaman bola sepak di eropah.
Pemain yang dimaksudkan itu adalah bekas pemain Newcastle United, Curtis Good yang kini beraksi untuk Melbourne City FC.
Hasil tinjauan di laman Transfermarkt, proses kemasukan Curtis ke Buriram kini sudah mencapai 87 peratus dan beliau dijangka akan meninggalkan kelabnya selepas kontrak tamat pada 1 Julai.
Pada permulaan musim sehingga hampir ke penghujung musim, khidmat Dion Cools acap kali digunakan di posisi pertahanan tengah sebelum beberapa perlawanan terkini yang menyaksikan beliau diletakkan di pertahanan kanan.
Dengan kemasukan Curtis Good yang semakin hampir menyertai Buriram, besar kemungkinan Dion Cools boleh melupakan posisi pertahanan tengah dan memberikan fokus sepenuhnya dengan posisi pertahanan kanan yang sememangnya sangat sinonim dengan beliau.
Bersama Buriram musim ini, Dion Cools sudah beraksi 37 perlawanan dalam kesemua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC dan pemain berusia 27 tahun itu merekodkan 2 jaringan.