Pertahanan kental Harimau Malaya, Dion Cools kembali memainkan posisi asalnya dan beraksi seperti memiliki tiga jantung.
Pemain berusia 27 tahun itu dalam momentum terbaik selepas menjaringkan gol roket dalam satu perlawanan Thai League Cup untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Dion kembali dengan peranan baharu bersama Buriram United selepas hampir satu musim setengah diletakkan sebagai pertahanan tengah pasukan.
Beliau kelihatan memainkan peranan yang lebih besar kali ini selepas pasukan dengan jolokan Thunder Castle itu apabila mula menyesuaikan diri dengan posisi asalnya iaitu pertahanan kanan.
Ketua jurulatih Buriram United, Jorginho kembali meletakkan pemain kelahiran Sarawak, Malaysia itu pada posisi pertahanan kanan bagi aksi liga menentang Muangthong United.
Bekas pemain Club Brugge di Belgium itu memainkan peranan cemerlang sepanjang 90 minit permainan dengan beberapa hantaran lintang penting yang membantu jentera serangan pasukan.
Dion juga sudah lama tidak beraksi pada posisi tersebut memandangkan kapten Harimau Malaya itu juga turut diletakkan sebagai pertahanan tengah bersama skuad kebangsaan.
Buriram United berjaya mengatasi Muangthong United dengan keputusan 3-1 dan beliau dinilai sebagai pemain kedua terbaik perlawanan dengan penilaian 7.5 mata.
Beliau melakukan 58 sentuhan dan merekodkan 83 peratus ketepatan hantaran selain memenangi 7 perebutan bola di atas padang dan dua di udara.
Cools juga cemerlang melakukan 6 hantaran tepat termasuklah tiga hantaran jauh sepanjang beraksi semalam.