Sebuah poster perlawanan akhir MFL Challenge Cup antara PDRM vs Selangor telah menjadi bualan hangat penyokong.
Saingan MFL Challenge Cup semakin hampir ke penghujung dengan dua pasukan di Lembah Klang iaitu PDRM dan juga Selangor bakal turun dalam aksi penentuan juara bagi edisi kedua.
PDRM sebelum ini dipaksa bekerja keras sebelum cemerlang menyingkirkan Kedah di Alor Setar menerusi aksi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan akur terikat 4-4 secara agregat.
Sementara Selangor pula menghampakan satu lagi wakil dari utara tanah air, Penang dengan keputusan 2-0 untuk layak ke final dan berpeluang mengakhiri kemarau trofi sejak 10 tahun lalu.
Pertemuan final MFL Challenge Cup ini diramal bakal menjadi tumpuan dengan PDRM kini membawa status juara bertahan tatkala Selangor masih kebal tanpa kekalahan dalam 10 aksi terakhir.
Menjelang aksi final pertama pada Sabtu ini, sebuah poster yang dimuat naik oleh akaun media sosial PDRM telah pun mencuri perhatian khususnya peminat bola sepak tempatan.
Poster perlawanan itu tampak biasa namun kenyataan yang diselitkan nyata menghangatkan suasana final itu apabila PDRM mempersoalkan keberadaan Selangor di kejohanan itu.
”Apa yang Selangor buat di MFL Challenge Cup ini?” tulis PDRM FC di dalam poster tersebut dengan nada sinis.
Tinjauan di ruangan komen menyaksikan para penyokong terhibur dengan teknik pemasaran oleh pihak pengurusan PDRM untuk mempromosikan aksi final bertemu Selangor ini.
“Hahaha aku sokong PDRM 100% kali ini,” kata Nagisa Rin.
”Admin Facebook dan Tiktok orang yang samakah? Dia punya sindir tahap lain,” tulis Khairulnizam Ahmad.
”Biarkan admin PDRM memasak agar tak hambar piala ini,” ujar salah seorang peminat, nasri.bola.
Malah, penyokong Selangor turut melihat poster ini dengan santai dan tenang selain sempat membalas perang psikologi itu bagi tujuan menghangatkan pertembungan final nanti.
”Dah sedia piala nak kena curi?” soal seorang peminat tegar Selangor, Brotherwul di Instagram.
Perlawanan akhir pertama MFL Challenge Cup akan diadakan pada 15 Februari di Stadium MBPJ sebelum aksi timbal balik pada 22 Februari hadapan di Stadium Selayang.