Selangor mengesahkan tempat di final MFL Challenge Cup setelah cemerlang menghantar Penang pulang hampa dalam aksi separuh akhir kedua pada Ahad.
Kedua-dua kelab bertemu dalam aksi separuh akhir pertama lalu yang menyaksikan Selangor membawa pulang kelebihan satu jaringan, memaksa Penang untuk bangkit di Kelana Jaya kali ini.
Kesebelasan utama Selangor diketuai oleh bek tengah dari Singapura, Safuwan Baharudin manakala Penang menaruh harapan kepada Dylan Wenzel Halls serta Rodrigo Dias di serangan.
Penang tampak bersemangat di awal permainan dengan usaha keras untuk menembusi benteng Selangor namun tuan rumah kekal tenang mengatur serang balas semula.
Percubaan terbaik buat Penang hadir di minit ke-30 apabila percubaan jarak dekat oleh Wenzel Halls sekadar mengenai tiang sebelum dikeluarkan oleh barisan pertahanan Selangor.
Gergasi Merah juga berpeluang untuk membuka tirai jaringan di penghujung permainan hasil gerakan Quentin Cheng serta Alvin Fortes di sebelah sayap tetapi kekal buntu hingga rehat.
Separuh masa pertama tamat, Selangor 0-0 Penang.
Kembali di babak kedua, kebuntuan jaringan akhirnya terlerai di minit ke-65 menerusi pemain sayap sensasi, Alvin Fortes yang dengan bersahaja menewaskan Sikh Izhan di pintu gol Penang.
Seakan tersentak, Harimau Kumbang berusaha tanpa henti untuk mengasak kubu Selangor akan tetapi aksi cemerlang Kalamullah Al-Hafiz menyelamatkan gawang tuan rumah dari dibolosi.
Pertukaran pemain yang dilakukan oleh Selangor dan Penang tampak tidak mengubah keputusan perlawanan dengan The Red Giants muncul sebagai pemenang di Stadium MBPJ kali ini.
Perlawanan di Stadium MBPJ berakhir dengan keputusan 1-0 dan membawa Selangor ke final berbekalkan agregat 2-0.
Menanti Selangor di final MFL Challenge Cup nanti adalah PDRM yang menyingkirkan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat seri 4-4 secara agregat.