Gol sendiri kapten Penang FC, Rafael Vitor membantu Selangor FC meraih kelebihan satu gol dalam aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup.
Selangor mahu meneruskan rentak kemenangan selepas mengalahkan musuh setempat, KL City FC pada 12 Januari lalu. Penang pula mahu bangkit selepas diikat 3-3 oleh Perak FC baru-baru ini.
Ronnie Fernandez terus menjadi sandaran gol pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi. Penyerang Australia, Dylan Wenzel-Halls pula menjadi pilihan jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan awal.di Stadium Bandaraya.
Vitor hampir meletakkan Harimau Kumbang di hadapan pada minit awal perlawanan. Malangnya, tandukan bek tengah Brazil itu dinafikan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Mukhairi Ajmal hampir merobek gawang tuan rumah pada minit kelapan tetapi rembatannya dinafikan penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel.
Tatkala Penang terus memberi tekanan menerusi Wenzel-Halls dan Rafael Dias, Selangor mendahului pada minit ke-35. Cubaan Vitor mengeluarkan bola hantaran Quentin Cheng gagal apabila tampanannya menewaskan Sikh Izhan.
Penang berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Selangor membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Fazly Mazlan dan Alex Agyarkwa.
Wenzel-Halls hampir menyamakan kedudukan buat Penang pada minit ke-51. Malangnya, percubaan lambung beliau berjaya diselamatkan Kalamullah.
Wan Rohaimi memasukkan Alif Ikmalrizal Anuar dan Al Hafiz Harun pada minit ke-63 dengan harapan dapat menembusi gawang pelawat.
Penang kemudiannya terpaksa mengeluarkan bek kiri kebangsaan, Adib Ra’op selepas beliau mengalami kecederaan di bahagian groin. Tempatnya digantikan Azmeer Aris Nor Rashid pada minit ke-67.
Harimau Kumbang terus memberi tekanan kepada Merah Kuning tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini, kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam saingan Liga Super pada 25 Januari di Stadium Bandaraya.
Merah Kuning memiliki bekalan satu gol untuk aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 2 Februari. Pemenang aksi ini bakal bertemu sama ada PDRM FC atau Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di final.