Selangor berjaya merakamkan kemenangan penting ke atas KL City.
Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi menurunkan kesebelasan terbaik dengan Faisal Halim mengetuai jentera serangan.
The City Boys tampil dengan kudrat terbaik sungguhpun tanpa beberapa tonggak penting yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-0 buat kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua, cerita berbeza berlaku di Stadium MBPJ apabila tuan rumah tampil dengan serangan lebih pantas menerusi bahagian sayap.
Kesilapan bahagian pertahanan KL City dihukum apabila tolakan Alvin Fortes menceriakan penyokong Selangor pada minit ke-63.
Peluang terbaik KL City hadir menerusi rembatan Jovan Motika ketika pintu gol sudah terbuka luas namun bola masih tidak bergolek ke dalam gawang gol Selangor.
Tambahan masa 6 minit tidak mengubah cerita sekaligus memberikan kemenangan ke-12 musim ini buat Gergasi Merah.
Selangor kini menghuni tangga ke-2 dengan 38 mata manakala JDT terus unggul pada kedudukan teratas dengan 49 mata.
Ujian berikutnya buat Selangor adalah menentang Penang pada 25 Januari sementara KL City bakal berdepan Sri Pahang.