Kerajaan Ecuador mengisytiharkan cuti umum pada Jumaat susulan kejayaan pasukan negara itu layak ke pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia.
Pengisytiharan itu dibuat Presiden Ecuador, Daniel Noboa susulan kejayaan pasukan Amerika Selatan itu. Ini sebagai tanda penghargaan kepada para pemain dan staf kejurulatihan yang menggembirakan seluruh negara atas pencapaian berkenaan.
“Terima kasih kepada para pemain dan jurulatih yang (gigih berjuang) meskipun menerima kritikan, penghinaan, dan masa sukar yang mereka lalui, berjaya bangkit dan membawa kegembiraan yang tidak terhingga ini kepada seluruh negara.
“Esok, cuti!” katanya dalam satu hantaran di X.
Ecuador perlu menang ke atas Jerman jika ingin layak ke pusingan kalah mati. Ini selepas mereka tewas kepada Ivory Coast dan seri dengan Curacao dalam dua aksi Kumpulan E sebelumnya.
Meskipun pada awalnya ketinggalan, pasukan yang diberi jolokan La Tri itu bangkit untuk meraih kemenangan. Ini kali kedua Ecuador mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia sejak edisi 2006.
Walaupun tewas, Jerman layak selaku juara Kumpulan E. Ivory Coast pula mengiringi kedua-dua pasukan tiu ke pusingan seterusnya selaku naib juara kumpulan.