Piala Dunia FIFA: Ecuador Malukan Jerman, Mara Ke Pusingan Kalah Mati
MakanBola
Latriecu

Juara Piala Dunia tiga kali, Jerman, terpaksa menelan kekalahan di penghujung separuh masa kedua selepas Ecuador berjaya melakar kemenangan 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada awal pagi Jumaat.

Skuad Ecuador itu kelihatan bergelut untuk memecahkan benteng lawan sebelum G.Plata muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.

Jerman melakukan dua rombakan dalam kesebelasan utama, manakala Ecuador mempertaruhkan gandingan pertahanan ampuh yang diterajui bintang Paris Saint-Germain (PSG), Willian Pacho, serta pemain Arsenal, Piero Hincapié.

Jerman bermula garang apabila Leroy Sané meletakkan pasukannya di hadapan seawal minit kedua. Beliau tenang menyudahkan hantaran menarik daripada Florian Wirtz menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti.

Namun, kelebihan itu hanya bertahan tujuh minit apabila Ecuador menyamakan kedudukan menerusi rembatan padu pemain Sunderland, Nilson Angulo, dari luar kotak penalti. Jaringan itu juga menyaksikan Jerman sekali lagi dibolosi, dengan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan namun kedudukan masih terikat 1-1 sehingga minit ke-60.

Selepas itu, Jerman membawa masuk pemain bernombor 26, Denis Undav, bagi mengulangi magis jaringan dari bangku simpanan, seperti yang dipamerkannya ketika berdepan Ivory Coast tempoh hari.

Akhirnya, gol kemenenagan yang dicari pasukan Ecuador muncul pada minit ke-77 menerusi penyerang Flamengo, Gonzalo Plata sekaligus menutup saingan peringkat kumpulan dengan 4 mata.

Kemenangan ini memastikan Ecuador mara ke pusingan seterusnya selepas muncul antara 8 pasukan terbaik tempat ketiga. Sementara itu, Jerman kekal di takhta dengan 6 mata hanya dipisahkan perbezaan gol bersama Ivory Coast.