Jerman Terpaksa Bayar Mahal Demi 3 Mata
MakanBola
Germany Football Team

Jerman terpaksa membayar harga mahal untuk meraih kelayakan awal ke pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia 2026.

Ini kerana Die Mannschaft terpaksa melupakan khidmat bek tengah Borussia Dortmund, Nico Schlotterbeck akibat kecederaan ligamen. Perkara ini turut disahkan jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann.

“Nico (Schlotterbeck) disyaki mengalami kecederaan ligamen. Ia kelihatan tidak bagus,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

Kecederaan tersebut memaksa Nagelsmann memasukkan bintang Real Madrid, Antonio Rudiger sebagai pengganti Schlotterbeck pada separuh masa kedua.

Meskipun begitu, bekas jurulatih Bayern Munich itu boleh menghela nafas lega kerana kombinasi dua pemain gantian, Denis Undav dan Nadiem Amiri membantu Jerman menewaskan Ivory Coast 2-1.

Amiri bertanggungjawab mencipta hantaran yang membawa kepada gol penyamaan yang dijaringkan Undav. Bekas penyerang Brighton itu kemudiannya menyumbat gol kemenangan dengan menyudahkan hantaran Felix Nmecha.

Sebelum itu, Ivory Coast mendahului pada separuh masa pertama menerusi jeneral tengah Al-Ahli, Franck Kessie.

Keputusan ini menyaksikan Jerman mengetuai Kumpulan E dengan enam mata. Ivory Coast mengekori di belakang dengan tiga mata.