Piala Dunia FIFA: Jerman Kalahkan Ivory Coast Penuh Debaran
MakanBola
Germany Football Team

Juara Piala Dunia 3 kali, Jerman terpaksa menunggu minit akhir sebelum berhasil mengalahkan Ivory Coast dalam aksi kedua peringkat kumpulan pada awal pagi Ahad.

Masih segar dengan kemenangan besar minggu lalu, Jerman bagaimanapun seperti hilang arah sebelum bangkit menumbangkan negara di ranking ke-33 dunia, Ivory Coast 2-1 hasil jaringan lewat oleh pemain gantian, Denis Undav.

Tiada sebarang rombakan dibuat Jerman apabila mengekalkan kesebelasan utama yang sama seperti ketika menewaskan Haiti, manakala Amad Diallo dan Yan Diomande bakal menjadi taruhan penting Ivory Coast di bahagian serangan.

Impian Jerman untuk memimpin perlawanan tidak kesampaian apabila gol Aleksander Pavlovic menerusi tandukan di minit ke-22 dibatalkan selepas pengadil menilai kekasaran berlaku antara pemain tengah itu dan penjaga gawang Ivory Coast.

Sebaliknya, Ivory Coast berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-30 hasil sentuhan mudah tonggak tengah, Franck Kessie yang memanfaatkan situasi kelam-kabut di hadapan pintu gawang Jerman yang dikemudi oleh Manuel Neuer.

Kai Havertz sempat menjaringkan gol pada minit ke-38 selepas menolak bola mudah ke dalam gawang, namun jaringan tersebut dibatalkan sekali lagi oleh pengadil selepas Jamal Musiala didakwa melakukan kekasaran sebelum itu.

Tindakan drastik Jerman yang melakukan 4 pertukaran pada babak kedua nyata membuahkan hasil apabila dua pemain gantian, Nadiem Amiri dan Denis Undav mencipta gerakan menarik untuk jaringan penyamaan pada minit ke-68.

Denis Undav sekali lagi muncul wira Jerman dengan jaringan kemenangan pada minit-minit akhir permainan sekali gus mengecewakan Ivory Coast yang turut mengintai peluang untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia kali ini.

Pertemuan di BMO Field, Toronto, Kanada di berakhir dengan kemenangan tipis 2-1 memihak Jerman.

Jerman dijadualkan menutup tirai kumpulan E menentang Ecuador pada 26 Jun hadapan sementara Ivory Coast pula bakal turun berdepan Haiti di hari yang sama bagi menentukan nasib ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA kali ini.