Piala Dunia FIFA: Jerman Cemas Sebelum Belasah Curacao
MakanBola
DFB_Team

Juara 4 kali, Jerman menepati ramalan apabila membelasah Curacao dalam aksi pertama kumpulan E Piala Dunia FIFA 2026 pada awal pagi Isnin.

Kemenangan besar 7-1 berjaya dicatatkan oleh Jerman dalam aksi pertama kumpulan E ke atas Curacao meskipun negara kecil di Laut Caribbean itu sempat memberikan kejutan kepada jaguh dari Eropah tersebut pada suatu ketika.

Kesebelasan utama Jerman dibarisi nama-nama terkenal antaranya Manuel Neuer, Joshua Kimmich, Florian Wirtz dan Kai Havertz manakala Curacao menampilkan bekas pemain Manchester United, Tahith Chong di bahagian tengah.

Jerman tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 menerusi percubaan cantik pemain tengah, Felix Nmecha yang terus menerjah gawang dan hanya diperhatikan oleh penjaga gol Curacao, Eloy Room.

Seakan tersentak, Curacao yang dibimbing oleh Dick Advocaat mencipta kejutan dengan jaringan penyamaan di minit ke-21 hasil rembatan Livano Comenencia yang gagal diselamatkan oleh Manuel Neuer dan skor terikat 1-1.

Kelebihan kembali memihak Jerman setelah Nico Schlotterbeck menanduk masuk jaringan kedua pasukan Jerman pada minit ke-38 berpunca daripada situasi sepakan sudut sekali gus memberi kelegaan untuk para peminat Die Manschaft.

Sebelum tamat babak yang pertama, Jerman menggandakan kelebihan yang dimiliki dengan menambah gol ketiga menerusi sepakan penalti yang cukup tenang disudahkan oleh pemain Arsenal, Kai Havert ketika memasuki masa tambahan.

Babak kedua bersambung dengan giliran Jamal Musiala bagi melakar nama selaku penjaring menerusi gerakan cantik oleh kapten, Joshua Kimmich dan disempurnakan dengan mudah oleh bintang Bayern Munich itu pada minit ke-47

Pertahanan kiri muda, Nathaniel Brown tidak ketinggalan untuk mencetak gol buat Jerman setelah memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti Curacao dan memberikan jaringan kelima kepada juara dunia 4 kali itu.

Kemenangan besar Jerman dilengkapkan dengan gol keenam dan ketujuh oleh Deniz Undav serta jaringan kedua peribadi oleh Kai Havertz semasa permainan menuju minit-minit akhir bagi dimainkan sebelum wisel akhir ditiup.

Pertarungan 90 minit di Stadium NRG, Houston berakhir dengan keputusan 7-1 memihak Jerman ketika Curacao masih melakar sejarah hebat mencetak gol pertama di pentas Piala Dunia.

Saingan kumpulan E akan diteruskan lagi dengan aksi melibatkan Jerman vs Ivory Coast pada 21 Jun hadapan manakala Ecuador bakal bertemu Curacao di hari yang sama.