Selepas bergelar Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Ayub mula sibuk bekerja.
Baru-baru ini, beliau merasmikan Kongres Tahunan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) 2024-2025 di Hotel Sentral, Melaka.
PJBM merupakan sebuah badan induk yang bertanggungjawab melindungi dan mempertahankan hak jurulatih bola sepak di Malaysia.
Selain itu, badan itu juga bertanggungjawab membangunkan jurulatih baru dan menambah baik prestasi jurulatih menerusi seminar, simposium dan kursus kejurulatihan.
Joehari melihat PJBM cukup penting dalam arena bola sepak negara. Ini kerana PJBM amat penting dari segi aspek pembangunan jurulatih.
“Saya berasa teruja untuk hadir ke Kongres PJBM hari ini kerana PJBM adalah Ahli Gabungan FAM yang pertama saya kunjungi sejak dipilih sebagai Presiden FAM seminggu yang lalu (15 Februari 2025),” katanya.
“Bagi memperkasa jurulatih tempatan, FAM dengan kerjasama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedia mengadakan lebih banyak seminar serta refresher course bagi memberi ilmu terkini dalam bidang kejurulatihan kepada para jurulatih di negara ini.”
Joehari turut mendedahkan perancangan FAM untuk menaikkan taraf jurulatih tempatan ke tahap yang lebih bagus.
“Antara tawaran lain yang turut dalam perancangan FAM termasuklah menghantar jurulatih terpilih bagi program ‘club attachment’ di luar negara, itu juga dengan kerjasama FIFA, AFC dan pihak kelab.
“Bukan setakat itu sahaja, FAM sedia memberikan peluang pekerjaan dan elaun yang setimpal mengikut pengalaman dan kelayakan lesen untuk jurulatih di peringkat akar umbi seperti di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan juga di persatuan bola sepak (FA) negeri,” ujarnya.
Kongres ini turut dihadiri Timbalan Presiden PJBM, Mohd Asri Ninggal, Naib Presiden PJBM, Rezal Zambery Yahya, Naib Presiden PJBM yang juga Setiausaha Kehormat PJBM, ACP (B) Md Dali Wahid.
Joehari diiringi Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Exco FAM, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah.