Presiden FIFA Bakal Tiba Di Vietnam
MakanBola
Vietnam FF

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino bakal menghadiri aksi final kedua ASEAN Hyundai Cup antara Vietnam dan Thailand pada Rabu.

Perkara ini disahkan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi badan induk itu. Infantino bakal diiringi Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom.

“Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafström akan berada di Stadium Nasional My Dinh untuk menyaksikan perlawanan kedua perlawanan akhir ASEAN Championship 2026 antara pasukan kebangsaan Vietnam dan pasukan kebangsaan Thailand.

“Kehadiran pemimpin FIFA merupakan satu peristiwa penting yang menyumbang kepada pengukuhan kedudukan, daya tarikan dan pembangunan bola sepak Asia Tenggara di peta bola sepak dunia,” kata VFF dalam satu kenyataan.

Infantino bukan asing dengan saingan ASEAN Hyundai Cup. Presiden FIFA itu pernah menghadiri aksi final kedua edisi 2022 antara Thailand dan Vietnam. Edisi tersebut menyaksikan Thailand muncul juara ketika dibimbing Mano Polking.

Infantino juga pernah merasmikan pembukaan kejohanan itu pada 2021 di Singapura. Selain menyentuh peranan bola sepak di rantau Asia Tenggara, beliau turut memaklumkan FIFA menyokong pembangunan berterusan sukan itu di rantau ini.

Presiden FIFA itu hadir tatkala kedudukannya tergugat selepas membatalkan pelan menjual pegangan Piala Dunia kepada pelabur luar. Terbaru, legenda-legenda dunia seperti Luis Figo dan Robert Pires memaklumkan mereka telah hilang kepercayaan terhadap Infantino.

Vietnam ketika ini memiliki kelebihan dua gol selepas menewaskan Thailand 2-0 dalam aksi final pertama di Bangkok, Thailand pada 22 Ogos lalu.